Sunday, April 22, 2012

Kekalahan Pasukan Terengganu - Kenapa Sampai Rumah Che Mat Jusoh 'Diserang'?


"Saya terkejut dengan tindakan mereka tetapi saya tidak akan melepaskan jawatan saya sebagai pengurus pasukan dan tidak akan menekan butang panik lagi...Pmain telah mencuba yang terbaik...peminat sebenar sepatutnya menyokong pasukan walaupun ketika pasukan itu menang atau kalah," - Che Mat Jusoh

Laporan Bernama menyebut dek kekalahan demi kekalahan yang dicatatkan oleh pasukan Terengganu, rumah Pengurus Pasukan Terengganu Datuk Che Mat Jusoh menjadi mangsa diserang oleh kira-kira 100 penyokong pasukan itu.

Dalam kejadian jam 11.30 malam tadi ada penyokong yang bertindak liar dengan membuat kecoh serta membaling batu ke arah kediaman Che Mat di Kampung Panji Alam di Kuala Terengganu.

Apakah penonton atau khususnya rakyat Terengganu kini tidak 'beradab' dan sanggup melakukan kerja tidak bermoral itu?

Mungkin ini sejarah bolasepak Malaysia dan sejarah bolasepak dunia apabila rumah Pengurus Pasukan Bola Sepak diserang.

Serangan itu dikatakan kemuncak bantahan yang dibuat di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebaik selesai perlawanan suku akhir pertama Piala FA malam tadi yang menyaksikan sang penyu tumbang 1-2 di tangan pasukan berstatus kelab, Sime Darby.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Terengganu ACP K. Manoharan  berkata akibat tindakan agresif itu bumbung rumah pengurus itu rosak akibat dibaling objek dan ada sebahagian daripada mereka bertindak menekan loceng dan menggoncang pintu pagar.

Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

Persoalannya, apakah benar kesemua yang datang 'mengganggu Che Mat Jusoh' itu peminat bolasepak?

Benar pengurusan Terengganu semakin hebat dikecam oleh penyokong setia pasukan itu tetapi apakah wajar bertindak sedemikian?

Dilaporkan, lebih daripada 500 peminat berkumpul sepanjang laluan keluar dari kawasan stadium berkenaan dengan mengangkat kain rentang dan poster yang meminta Che Mat dan jurulatih Mat Zan Mat Aris meletak jawatan.

Kekecohan di rumah Che Mat itu berjaya dikawal setelah pihak polis ke rumah berkenaan setelah menerima panggilan telefon daripada pengurus pasukan itu.

Che Mat  kesal dengan tindakan tidak bertamadun segelintir penyokong pasukan termasuk menyerang rumahnya.

Katanya dia tidak akan melepaskan jawatannya dan tindakan yang dibuat oleh beberapa peminat hanya akan memberi kesan negatif ke atas pemain.

"Saya terkejut dengan tindakan mereka tetapi saya tidak akan melepaskan jawatan saya sebagai pengurus pasukan dan tidak akan menekan butang panik lagi.

"Para pemain telah mencuba yang terbaik...peminat sebenar sepatutnya menyokong pasukan walaupun ketika pasukan itu menang atau kalah," katanya.

Persoalannya dengan tunjuk perasaan sedemikian, apakah mutu bola sepak Terengganu boleh dipulihkan dalam masa terdekat?

Kita berharap polis Terengganu menyekat segera gejala ini dan hukum mereka yang melakukan perbuatan keji seperti ini!

No comments:

Post a Comment