Thursday, April 5, 2012

Kempen Sifat Buang Pelajar Di Terengganu Dalam Masa Terdekat

Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan menjalankan kempen 'Sifar Buang Pelajar' dalam jangka masa terdekat untuk memastikan tidak berlaku keciciran akademik di kalangan anak watan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sehubungan itu satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan beliau akan ditubuhkan.


"Kita tidak mahu pelajar-pelajar yang dibuang sekolah ini terus tersisih, malah lebih buruk andainya mereka terus hanyut dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah yang akan memudaratkan rakyat Terengganu secara khususnya.

"Kita akan memikirkan pendekatan yang sesuai untuk mendekati golongan pelajar yang menghadapi masalah disiplin ini dengan unsur psikologi bagi mengelak tindakan buang sekolah dikenakan terhadap mereka," katanya semalam.

Walaupun kes buang pelajar di Terengganu tidak membimbangkan, usaha pencegahan awal perlu diambil untuk mengatasi masalah keciciran akademik yang akan menyebabkan pelajar tebabit dengan pelbagai masalah disiplin.

Ahmad Razif berkata beliau juga akan mengadakan perjumpaan khas dengan guru, pelajar dan ibu bapa pelajar yang mempunyai masalah disiplin secara berjadual tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment