Wednesday, April 18, 2012

Kenyir Island Hopping Mula Gamit Pelancong - MB

Gambar Fail - MB ketika melawat Pulau Burung baru-baru ini.
Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sehingga kini telah membelanjakan RM400 juta bagi membangunkan Kenyir Island Hopping (KIH) di kawasan Tasik Kenyir , Hulu Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata KIH yang meliputi 10 pulau mula menggamit pelancong apabila sebahagian daripada projek berkenaan telah pun siap dan mula dibuka kepada pelancong.

Gambar Fail - Ahmad Said meninjau sendiri kemajuan Pulau Orkid


Katanya, salah satu daripada pulau yang dibangunkan melalui projek KIH dan dimulakan sejak dua tahun lalu, dijadikan Taman Burung yang kini menempatkan 120 spesies burung.

“Sebahagian daripada burung tersebut yang amat jinak dan dilepaskan berkeliaran di pulau itu, diimport dari luar negara. Taman Burung dan Taman Herba sudah pun dibuka kepada pengunjung.

“Manakala, pembinaan Taman Orkid hampir 60 peratus siap, Taman Rama-Rama (40 peratus) dan taman lain akan di bina dalam tempoh terdekat,” katanya.

Katanya, di Pulau Herba, pelawat bukan saja boleh mengenali beribu-ribu spesies herba yang ditanam di situ, tetapi mereka juga berpeluang menikmati air Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan Mas Cotek yang disediakan di pulau berkenaan.

“Sebagai sokongan kepada projek KIH, kerajaan negeri merancang membina Taman Tema Air di Pulau Poh di mana projek itu dijangka dimulakan pertengahan tahun ini,” katanya.

“Selepas projek itu siap kelak, sudah pasti Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara akan menjadi lokasi pelancong yang terkemuka di rantau ini,” katanya selepas majlis perjumpaan dengan kakitangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bandar Al Muktafibillah Shah, Dungun,semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Wan Mat Amin Wan Daud.

Menteri Besar turut memberitahu, kakitangan Ketengah perlu memainkan peranan membantu menjayakan matlamat Kerajaan Negeri yang menjadikan sektor pelancongan sebagai sektor ketiga dalam pendekatan pembangunan negeri,” katanya.

Selain pembangunan Tasik Kenyir, Ketengah juga sedang melaksanakan pelbagai pembangunan perbandaran bernilai RM30 juta, termasuk pembinaan rumah kedai dan rumah tamu.

Teganukita

No comments:

Post a Comment