Saturday, April 14, 2012

KPDNKK Mahu Pekedai Maklum Jika Tidak Minat MR1M

Peniaga kedai makan yang tidak berminat untuk meneruskan Program ‘Menu Rakyat 1Malaysia’ (MR1M) perlu memaklumkan segera perkara itu kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Terengganu (KPDNKK).

Pengarah Pejabat KPDNKK, Ghazali@Suhaimi Muhammad berkata, mereka perlu berbuat demikian supaya tidak timbul sebarang masalah dan juga rungutan daripada orang ramai kerana masih mempamerkan menu program MR1M di kedai masing-masing.
  Menurutnya, hal sedemikian perlu diambil serius kerana nama kedai mereka telah diletakkan di dalam portal program MR1M yang boleh diakses orang ramai dan ia adalah program sukarela kerana semua peniaga dan pemilik restoran boleh menyertainya.

“Peniaga perlu memaklumkan kepada KPDNKK jika mereka tidak mahu lagi meneruskan penyertaan mereka dalam program itu, dan kita tidak pernah memaksa jika mereka tidak lagi berminat meneruskannya.

“Kita juga sentiasa membuat pemantauan dari masa ke masa kerana jika mereka telah mengikuti program tersebut, mereka perlu menyediakan secara berterusan menu tersebut dan bukannya sekejap ada, sekejap tiada,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, KPDNKK juga telah memberikan khidmat nasihat kepada peniaga terlibat dan jika ada masalah atau rungutan daripada pelanggan, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap peniaga terbabit.

Sementara itu, seorang peniaga, Minah Mustapa, 46 berkata, sejak memperkenalkan menu makanan 1Malaysia di bawah Program MR1M, ramai pelanggan datang menjamu selera di kedai miliknya yang terletak di Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu.

Menurutnya, dia menyediakan pakej menu untuk sarapan berharga RM2 iaitu nasi lemak dengan minuman manakala bagi menu makan tengah hari pula berharga RM4 untuk nasi, ayam goreng dan minuman.

“Sejak kerajaan melalui KPDNKK mula memperkenalkan menu rakyat 1Malaysia, ia mendapat sambutan pelanggan, sama ada untuk sarapan atau makan tengah hari.

Setakat ini, tiada rungutan diterima kerana pelanggan juga telah sedia maklum. “Jika mereka mengambil lauk tambahan, tentulah harga berlainan pula dikenakan,” katanya.

Menurutnya, walaupun harga makanan yang ditetapkan murah, kualiti makanan yang disajikan kepada pelanggan tetap diberi keutamaan kerana jika tidak berbuat demikian, mungkin pelanggan akan serik untuk berkunjung lagi ke restorannya

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment