Saturday, April 14, 2012

Pembiakan Aedes Tinggi Kerana Kurang Gotong-Royong

Sikap masyarakat kurang mengadakan aktiviti gotong-royong didapati menyebabkan kadar pembiakan nyamuk Aedes tinggi dan mengakibatkan jangkitan denggi terus berlaku di kalangan penduduk.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata hal itu berlaku antaranya di lokaliti "hot spots" Site B Sekincan di mana hanya satu aktiviti gotong-royong dijalankan sepanjang tempoh wabak (31 hari) walaupun jumlah kes yang dilaporkan adalah tinggi (10 kes).

"Kekurangan aktiviti gotong-royong di kawasan ini menyebabkan ia masih lagi kotor dan tidak bersih dan apabila pemantauan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dijalankan mendapati kadar pembiakan Aedes adalah tinggi iaitu 1.8 peratus dan mengakibatkan jangkitan denggi terus berlaku di kalangan penduduk," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Sebaliknya, beliau berkata, keadaan yang berbeza berlaku di Taman Melati, Setapak di mana penduduk setempat mengadakan sebanyak empat aktiviti gotong-royong dengan dibantu oleh anggota dari Pejabat Kesihatan Daerah dalam menjalankan pengedaran risalah, penampalan poster, nasihat secara individu dari rumah ke rumah serta tunjuk cara berkaitan pemusnahan tempat pembiakan Aedes.

"Kerjasama penduduk dalam menjalankan aktiviti gotong-royong berjaya membersihkan kawasan tersebut apabila tiada lagi pembiakan Aedes dijumpai," katanya.

Sementara itu, Dr Hasan berkata bagi tempoh 1 April hingga 7 April, sejumlah 431 kes demam denggi dilaporkan berbanding 466 kes pada minggu sebelumnya (25 Mac hingga 31 Mac).

Selangor mencatat bilangan kes tertinggi dalam tempoh itu (1-7 April) iaitu 186 kes, dengan sembilan kematian sejak awal Januari berbanding hanya dua kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Sebanyak enam negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Perak yang meningkat sebanyak sembilan kes (31 peratus), Pulau Pinang lima kes (31 peratus), Pahang empat kes (33 peratus), Negeri Sembilan dua kes (33 peratus), Kedah dua kes (20 peratus) dan Perlis satu kes (25 peratus).

Dari 1 Januari hingga 7 April tahun ini sebanyak 7,038 kes dilaporkan, meningkat sebanyak 1,331 kes atau 23 peratus berbanding 5,707 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu. Dalam tempoh sama, sebanyak 17 kematian akibat demam denggi dilaporkan berbanding sembilan kematian pada tahun lalu.

No comments:

Post a Comment