Sunday, April 29, 2012

Logo Tahun Melawat Terengganu Ditentu Minggu Depan

Kerajaan negeri akan menentukan logo sesuai untuk program Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT) minggu depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Rahin Mohd Said.

"Minggu hadapan saya akan menyelaras satu mesyuarat untuk menentukan logo untuk tahun melawat Terengganu 2013 dan kami juga akan menentukan pemenang pertandingan mencipta logo itu," katanya kepada pemberita di Marang semalam.


Beliau berkata kerajaan negeri menubuhkan sekretariat bagi mengatur segala persediaan termasuk promosi dalam dan luar negara untuk melicinkan perjalanan TMT 2013.

Rahin berkata sempena TMT 2013, kerajaan mensasarkan lebih 4 juta pelancong akan berkunjung ke Terengganu dan sekaligus akan menjana ekonomi kepada peniaga di negeri itu.

Ditanya mengenai bajet untuk TMT 2013, beliau berkata setakat ini kerajaan belum memutuskan perkara berhubung kedudukan kewangan.

"Mungkin kedudukan kewangan itu akan diputuskan bersama, juga selepas mesyuarat minggu depan nanti," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment