Pengerusi Jawatakuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan
Negeri Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said (baju batik), Pengarah
Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A
Talib dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali
menampal pelekat peserta BOTR 2012.
Muara Sungai Lasir, Sungai Mala, Sungai Leban Terengganu dan kawasan berhampiran Pertang Island Resort yang menjadi lokasi pertandingan Boat On The Road 2012 (BOTR 2012) kaya dengan toman serta baung yang tersenarai sebagai spesies dipertandingkan.
Walaupun jumlahnya dikatakan agak berkurangan sejak kebelakangan ini, namun pemancing tidak pulang tangan kosong jika kena pada gayanya.
Sasitharan dengan toman tangkapannya |
Tambahan pula toman di sini amat sensitif dengan keadaan sekeliling dan pemancing perlu peka dengan kelibat ikan di air. Kunjungan sekumpulan pemancing dari Klang/Shah Alam yang diketuai Tamizam Abd Karim ke Tasik Kenyir baru-baru ini, nyata berjaya memenuhi impian mereka untuk menewaskan spesies licik itu, terutama memancing toman di celah tunggul kayu yang menjadi rumahnya.
“Tasik Kenyir ibarat rumah air kedua saya sekiranya tidak turun memancing ke laut. Masakan tidak, ada saja pelawaan ke tasik ini, saya tidak pernah menolaknya terutama membawa pemancing yang baru-baru berjinak menguji spesies air tawar.
“Dengan keadaan air tasik yang masih belum turun, toman kebiasaannya akan bermain atau mencari makanan di muka sungai atau anak-anak sungai kerana di situ banyak ikan kecil bermain. Jika bernasib baik, dari jauh lagi kita dapat melihat percikan air terhambur ke udara menandakan toman menyambar ikan kecil.
“Kunjungan saya bersama Hadi iaitu juara BOTR 2010, Sasitharan Nair dan Rahiman nyata membuahkan hasil. Bukan seekor tetapi tiga toman berjaya didaratkan. Hanya seekor toman seberat tujuh kilogram saja diambil gambar, manakala dua lagi bersaiz kecil tidak sampai sekilogram,” katanya kepada Joran.
Kata Tamizam, toman Tasik Kenyir suka menyambar ikan keli atau lampam, kerana ia amat anti lenggokan ikan berkenaan.
“Begitu juga umpan tiruan yang dikatakan mengacau ‘ketenteraman’ mereka. Tidak hairan, jika pemancing berpeluang melihat sekumpulan anak toman, segera baling umpan tiruan ke dalam kumpulan berkenaan kerana ibu toman berada di bawahnya.
“Toman amat pantang ada objek lain atau penghuni asing datang ke kumpulannya, habis diratah. Pemancing perlu ingat sejak kebelakangan ini Tasik Kenyir dipenuhi siakap putih apabila kerajaan negeri melepaskan kira-kira 30,000 ekor sebagai tambahan stok ikan.
“Seperti toman, siakap juga sering kelihatan di muka sungai kerana di situ banyak makanan terutama seluang, lampam dan kejor bermain di situ,” katanya.
Bagi mereka yang memancing dasar (bottom), beliau turut mengesyorkan tapa, cacing gila atau udang gantung sebagai umpan bagi memperdayakan baung atau spesies lain.
“Saya pernah menewaskan belida seberat dua kilogram tahun lalu ketika memancing dasar. Seronok juga menaik ikan berkenaan kerana badannya leper dan besar memberikan sedikit tentangan,” katanya.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment