Thursday, April 12, 2012

Maidam Belanja RM3.6 Juta Bagi Program al-Ansar Di Jordan

Mulai tahun ini, pelajar yang terpilih mengikuti program al-Ansar di Jordan perlu membayar RM300 bagi menampung kos penterjemahan, visa dan pengesahan di Wisma Putra.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengenakan syarat itu bagi mengelak kerugian apabila ada pelajar menarik diri pada saat akhir.

Maidam  membelanjakan RM3.6 juta melalui program al-Ansar bagi menaja 60 pelajar yang mengikuti pengajian di beberapa universiti di Jordan tahun ini.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, setiap pelajar mendapat tajaan sebanyak RM60,000 untuk tempoh empat tahun.

“Kesemua pelajar terpilih dari Sekolah Menengah Agama (SMA) di negeri ini akan mengikuti bidang pengajian Islam seperti Feqah, Usulluddin, Muamalat dan bahasa Arab,” katanya pada sidang media selepas menerima pembayaran zakat perniagaan dari Telekom Malaysia di pejabatnya, semalam.

Sehubungan itu, Maidam mengadakan sesi temuduga selama dua hari pada 9 dan 10 April bagi memilih mereka yang benar-benar layak menerima tajaan Maidam.

Katanya, senarai nama mereka yang berjaya dalam temuduga itu akan dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi selewat-lewatnya pada 15 Mei depan bagi tujuan penempatan di mana-mana universiti di Jordan.

Katanya, tahun lalu Maidam telah menghantar 47 orang pelajar mengikuti pengajian Islam termasuk tiga orang dalam bidang perubatan dan pakar sakit puan .

“Maidam juga melahirkan rasa bangga, terhadap perkembangan pengajian tiga pelajar tajaan tahun pertama dalam bidang perubatan yang mendapat pencapaian mumtaz (1) dan jayyid jiddan (2),” katanya.

No comments:

Post a Comment