Thursday, April 12, 2012

Gara-Gara Kalah Berturut-Turut, Che Mat Jusoh Sekali Lagi Didesak Berundur


Kekalahan 0-2 Terengganu kepada Tampines Rovers dalam perlawanan keempat Piala AFC semalam, nyata mengundang kekecewaan penyokong setia.

Sebaik perlawanan berakhir, hampir 300 penyokong fanatik pasukan Terengganu yang tidak berpuas hati dengan prestasi merudum skuad Penyu itu, mula berkumpul di luar stadium dengan mengangkat kain rentang yang meminta pihak pengurusan meletak jawatan selepas menyaksikan pasukan kesayangan mereka tunduk 0-2 di tangan Tampines Rovers dalam saingan kumpulan F Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), petang kelmarin.


Penyokong yang berkumpul di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebaik permainan tamat bertindak melepaskan geram kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang juga pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh sekali gus meminta beliau berundur.

Penyokong yang berang sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan, mula menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin PBSNT, termasuk jurulatih Penyu Mat Zan Mat Aris.

Keadaan itu berlarutan apabila kira-kira 300 penyokong berhimpun di depan pintu masuk Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Namun keadaan mula terkawal dengan kehadiran sepasukan polis termasuk anggota Rela di pekarangan stadium berkenaan.

Kekecohan itu timbul setelah anak buah kendalian Mat Zan Mat Aris diaibkan dilaman sendiri hasil dua jaringan ketua pasukan yang juga bekas penyerang kebangsaan Singapura, Aleksandar Duric pada minit ke-37 dan 90 perlawanan petang, semalam.

 Seorang penyokong yang kecewa dengan kekalahan itu, Azman Abu, 26 berkata, kemerosotan prestasi Terengganu ketika ini banyak berpunca daripada sistem pengurusan PBSNT yang dilihat tidak profesional.

“Kami adalah penyokong tegar Terengganu dan kami tidak mahu lihat masa depan bola sepak Terengganu musnah begitu sahaja di bawah pentadbiran pemimpin yang kurang profesional,” katanya.

Manakala rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai Razlan, 20, pula turut mempersoalkan percaturan permainan yang dipraktikan jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris yang dilihat kurang sesuai dengan pemain, terutamanya dalam beberapa perlawanan terdahulu.

“Saya lihat pemain seolah-olah sukar untuk bermain dengan corak permainan yang digunakan Mat Zan dan saya rasa perkara ini menjadi salah satu punca Terengganu dibelasah 1-6 kepada Selangor, dan tewas lagi sekali dengan 0-2 kepada Tampines hari ini (semalam),” katanya.

 Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Mat Zan mempertahankan aksi pasukannya sambil berharap penyokong tidak bertindak di luar batasan.

Katanya, Terengganu telah mencuba yang terbaik namun aksi pemain di atas padang masih tidak menjadi.

"Kalau kita tengok dalam tempoh tiga minggu ini sahaja, kita beraksi lebih kurang tujuh atau lapan perlawanan.

"Jadi memang susah untuk kita jangkakan konsistensi pemain dalam tempoh itu. Saya harap penonton faham situasi ini," katanya. Mat Zan berkata, Terengganu masih berpeluang untuk mara ke pusingan kedua Piala AFC meskipun kalah semalam dan pasukan itu juga berada pada kedudukan baik, iaitu ketiga dalam saingan Liga Super.

"Kita juga berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA dan ia sekali gus membuktikan bahawa Terengganu masih bersaing dalam semua kejohanan.

"Masalah utama yang kita hadapi sekarang ialah, kita tak dapat menurunkan kesebelasan utama kita sejak beberapa perlawanan yang lalu.

"Kita memang main untuk hiburkan penonton tapi penonton juga kena faham.

 "Saya tak faham mengapa mereka (penonton) marah," ujar beliau

No comments:

Post a Comment