Saturday, April 7, 2012

Manis FM Bijak Pikat Pendengar Melalui Hebahan, Muzik 24 Jam

Manis fm yang menggunakan `tagline’ ‘Pilihan Terunggul Di Pantai Timur’ bijak memikat hati pendengar melalui persembahan hebahan dan muzik yang menarik sepanjang 24 jam bersiaran setiap hari.

Radio Manis FM dengan rasminya akan menjadi radio kerajaan negeri selepas selesai proses pengambilalihan stesen berkenaan oleh Lembaga Tabung Amanah Terengganu (LTAT), dalam tempoh terdekat.
Liputan stesen berkenaan boleh diikuti melalui gelombang 102.0 fm bagi mereka yang tinggal di kawasan Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu; 90.6fm (Besut, Kelantan dan Selatan Thailand) manakala 95.1 fm (Kemaman dan Pahang).

Radio itu bukan saja menyiarkan lagu pilihan pendengar, malah setia melaporkan berita terkini serta pelbagai program menarik berkaitan negeri ini serta Kelantan dan Pahang.

Pelbagai pendekatan digunakan pihak pengurusan Manis fm, termasuk mewujudkan segmen Masalah dan Aduan, Carta Hit & Irama Kita, Aku Ucapan & Lagu, Layan Jiwang 678, agar tidak menjemukan pendengar.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, mengumumkan Manis fm yang masih berpengkalan di Kota Bahru, Kelantan, dalam proses untuk berpindah ke Kuala Terengganu bagi membolehkannya bersiaran 24 jam.

Menurutnya, pihak pengurusan radio itu kini sedang giat membaik pulih beberapa kelemahan yang dikenal pasti sebelum stesen radio itu bersedia berpindah.ke tempat baru.

“Jutaan pendengar pasti tidak lagi mengalami gangguan jika aspek penting dilaksanakan seperti penukaran peralatan lama kepada baru, baik pulih transmisi atau stesen pemancar radio,” katanya.

Katanya, rasional pembelian stesen radio itu kerana ia merupakan pelaburan yang strategik dan dapat menyalurkan maklumat kerajaan secara lebih luas dan menyeluruh.

“Setakat ini tiada lagi negeri melainkan Terengganu yang memiliki stesen radio sendiri.

“Kerajaan negeri secara amnya mengetahui dan apa yang dilaksanakan itu sudah tentu boleh mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua pihak iaitu rakyat dan negeri,” katanya.

No comments:

Post a Comment