Monday, April 2, 2012

Peluang Pekebun Kecil RISDA Tingkatkan Hasil


Pelancaran Gerakan Membaja RISDA peringkat negeri di Kampung Perasing Jaya, Jabor, Kemaman semalam diyakini memberi peluang kepada pekebun kecil di bawah skim bantuan RISDA mengamalkan teknologi membaja dengan betul.

Pada masa sama, gerakan membaja itu akan dapat memastikan pekebun kecil melaksanakannya secara berterusan mengikut amalan berkebun yang baik untuk meningkatkan produktiviti.


Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, melalui amalan pembajaan yang betul dan teknologi yang sesuai, tempoh muda pokok boleh dipendekkan kepada empat tahun setengah bagi getah dan dua tahun setengah bagi sawit selepas ditanam.

 “Apa yang paling diharapkan adalah gerakan membaja ini juga dapat meningkatkan produktiviti pekebun kecil dan secara langsung akan meningkatkan pendapatan mereka.

“Dengan harga komoditi yang baik sekarang, saya minta pekebun kecil tidak terus berasa selesa sebaliknya memberi komitmen lebih tinggi dan sentiasa memberi respons kepada teknologi, pendekatan mahupun sistem yang diperkenalkan oleh RISDA atau agensi penyelidikan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kasihi Pekebun dan Gerakan Membaja peringkat negei yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Rosli Othman; Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman.

Tambah Tan Sri Rahim, gerakan membaja telah dilancarkan pada tahun lalu secara besar-besaran berteraskan kepada peningkatan produktiviti supaya setiap pekebun kecil akan membaja setiap pokok getah dan sawit mengikut jadual serta peraturan yang betul.

Katanya, dengan gerakan itu para pekebun kecil akan dapat meningkatkan hasil dan seterusnya meningkatkan pendapatan selari dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 “Apa yang perlu dilakukan oleh para pekebun kecil adalah mengubah minda dan sikap untuk melihat tanah sebagai aset bagi menjana pendapatan secara maksimum.

“Bagi tujuan ini, pembajaan pokok amat penting kerana ia merupakan asas amalan pertanian yang baik, tetapi jangan pula RISDA memberi baja, kita tinggalkan di bawah rumah sahaja atau dijual kepada orang lain dan baja tidak sampai ke pokok," katanya.

No comments:

Post a Comment