Kementerian Kesihatan mengarahkan sebanyak 35 pengeluar utama makanan dan minuman supaya mengurangkan kandungan gula dan garam dalam produk mereka.
Pengeluar, termasuk produk bayi, bijiran dan minuman berkarbonat, juga diberitahu untuk mengurangkan kandungan lemak dalam produk mereka berikutan semakin ramai rakyat Malaysia yang mengidap kencing manis, penyakit jantung, kanser dan darah tinggi.
"Kami mengadakan satu pertemuan dengan wakil-wakil di Persekutuan Pengilang Malaysia dan sektor perniagaan kecil dan sederhana ini baru-baru ini.
"Kami meminta mereka untuk melakukannya secara sukarela tetapi kita juga telah memberikan mereka satu tarikh akhir untuk mematuhinya," Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada pemberita.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan berapa lama tempoh yang diberikan kepada para pengeluar untuk berbuat demikian.
Liow berkata, ia adalah mustahak sebagai kempen mendidik rakyat Malaysia supaya lebih peka terhadap kesihatan.
Beliau berkata, bilangan mereka yang menghidap penyakit diabetis pada masa ini adalah 15.2 peratus berbanding 11.6 peratus pada tahun 2006.
Lazimnya, rakyat Malaysia yang mengalami kolestrol tinggi juga telah meningkat dari 20.7 peratus kepada 35.1 peratus pada masa ini.
Beliau berkata, rakyat Malaysia dilihat semakin kurang prihatin terhadap penyakit-penyakit itu semata-mata ia bukan penyakit berjangkit.
“Sewaktu wabak H1N1 berlaku sebelum ini, orang ramai sangat berhati-hati terhadap kebersihan diri kerana ia merupakan satu penyakit berjangkit dan mudah untuk terkena penyakit itu.
"Tetapi atas sebab-sebab yang tidak sepatutnya, mereka tidak bimbang tentang makanan yang kurang sihat hanya kerana mereka tidak jatuh sakit serta-merta,” katanya sambil menambah bahawa orang yang mengalami kencing manis, penyakit jantung yang berkaitan dan hipertensi juga memerlukan penjagaan perubatan.
Liow berkata, beliau juga akan melancarkan satu kempen bagi meminta pengeluar makanan dan minuman ‘memperbetulkan’ label kandungan bahan produk mereka supaya pengguna akan tahu apa yang mereka makan.
“Pengeluar makanan dan minuman juga akan berpeluang untuk mengaut keuntungan sekiranya mereka mengurangkan kandungan gula dan garam dalam produk berkenaan kerana kami akan mengesahkannya sebagai makanan yang sihat.
“Dengan sokongan kami, pengeluar akan dapat meningkatkan hasil jualan dan memperoleh keuntungan lebih tinggi,” katanya sambil menambah bahawa kementerian itu juga akan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi pengeluar yang mengikuti arahan tersebut.
Liow berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan sarapan “Sihat 1Malaysia” dan program kesedaran kesihatan di Taman Temiang Jaya dekat Seremban.
No comments:
Post a Comment