Wednesday, April 11, 2012

Pelumba Wanita Menyerlah Pada Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Thailand (ToT) 2012

Pelumba wanita negara semakin mempamerkan peningkatan meskpiun kurang berpengalaman dalam perlumbaan jelajah di Chiang Rai, Thailand. 

Skuad lebuh raya wanita Malaysia menutup tirai aksi pada kejohanan lumba basikal Jelajah Thailand (ToT) 2012 dengan keputusan memberangsangkan apabila Masziyaton Mohd. Radzi menduduki tempat ke-14 pada perlumbaan peringkat ketiga sejauh 80.3 kilometer (km) dari Chiang Rai ke Mae Sai dan berakhir di Mae Chan semalam.

Tanpa kelibat pemecut 'berbisa', Zahraa Anuawar yang terkeluar daripada aksi gara-gara terlibat dalam kemalangan kelmarin, Masziyaton terpaksa 'menumpang' kudrat pelumba kebangsaan Korea Selatan, Chongming-Giant Pro Cycling (GPC), Asahi Cycling Team (ASA), Vietnam dan Thailand untuk memperkasakan henjutan ke garisan penamat bagi memburu kedudukan terbaik.

Masziyaton merakam masa 2 jam 33 minit 11 saat, catatan yang sama dilakukan juara perlumbaan peringkat tersebut, Chae Yung Rhee dari Korea Selatan sambil diekori pelumba GPC, Liu Xin dan tonggak tuan rumah, Juthatip Maneephan.

Muslihah Salim pula yang sibuk melayan asakan pemecahan awal yang dilakukan pelumba Korea Selatan dan GPC pada pertengahan perlumbaan, sekadar menduduki tempat ke-18, manakala Mardiana Mohd. Radzi menamatkan saingan di tempat ke-23.

Namun, Masziyaton mengakui sukar meloloskan diri daripada kepungan pelumba Korea Selatan, ASA dan GPC yang enggan membenarkan Malaysia meraih kemenangan simpati rentetan masing- masing memburu mata kelayakan acara lepas beramai-ramai elit wanita ke Sukan Olimpik 2012 di London. "Sukar untuk mara ke depan.

Hari ini (semalam) saya terpaksa berjuang secara bersendirian. Saya terpaksa 'menumpang angin' pelumba Korea Selatan, Jepun (ASA), China (GPC), Thailand dan Vietnam.

Mereka pantas tutup ruang untuk saya ke depan. "Bagaimanapun, selepas 300 meter ke garisan penamat, saya mendapat sedikit ruang untuk keluar. Saya gunakan kesempatan ini untuk melakukan henjutan.

"Sayang sekali saya cuma dapat kedudukan ke-14. Saya sangka dapat duduk kelompok 10 teratas.

 Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan keputusan hari ini (semalam)," katanya. Masziyaton kekal di tempat ke-26 klasifikasi individu keseluruhan dengan keciciran masa 7.43s di belakang Xin - pemenang Jersi Kuning dari GPC - yang merakam masa 8:58:43s, manakala Mardiana (ke-37) dan Muslihah (ke-40).

Dengan masa 27:23:20s, skuad kebangsaan Malaysia pula sekadar menduduki tempat ketiga keseluruhan kategori ASEAN yang dimenangi pasukan kebangsaan Vietnam yang merakam masa 27:10:06s, sambil diekori pasukan kebangsaan Thailand, 27:11:17s.

Jurulatih skuad wanita, Mohd. Hardi Razali percaya anak-anak buahnya berjaya meraih sedikit pengalaman berkayuh bersama beberapa pelumba yang sedang memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2012.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment