Keletihan dan mungkin juga masih fobia dengan kekalahan teruk ketika menentang Selangor dalam aksi Liga Super baru-baru ini menjadi punca pasukan Penyu tewas 0-2 kepada pasukan pelawat Tampines Rovers.
Jurulatih Terengganu Mat Zan Mat Aris berkata dua faktor itu jelas kelihatan dalam aksi pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang pasukan dari Singapura itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, petang semalam.
“Mungkin pemain masih lagi letih dan fobia dengan kekalahan di tangan Selangor 1-6 dalam pertandingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya minggu lepas,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.
Turut hadir pada sidang media itu jurulatih pasukan Tampines Rovers Tan Eng Chuan Steven.
Pada perlawanan pertang semalam, episod kekalahan terus membelenggu skuad penyu apabila tewas 0-2 di tangan pasukan Tampines Rovers pada perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Dengan kemenangan bergaya yang dicatatkan pelawat itu sekaligus meranapkan harapan sang penyu untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.
Pada babak permulaan kedua-dua pasukan mampamerkan aksi seimbang dan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Beraksi di hadapan kira-kira 7,000 penyokong tuan rumah, nyata tidak menggoyahkan rentak pasukan lawan apabila terlebih dahulu mengejutkan skuad Penyu menerusi jaringan kapten pasukan itu Aleksandar Duric yang bijak mencari peluang di depan pintu gol pada minit ke-37 perlawanan.
Sebelum itu skuad Terengganu hampir memperoleh peluang terbaik untuk menghasikan gol, bagaimanapun rembatan deras dari penyerang import Liberia, Francis Forkey Doe tersasar dan hanya lalu di depan pintu gol pihak lawan.
Keghairahan barisan Terengganu untuk mencari gol penyamaan akhirnya membawa padah apabila Duric dengan mudah membolosi benteng pertahanan Terengganu untuk menambah gol kedua pada minit ke-90.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment