Wednesday, April 4, 2012

Piala AFC - Terengganu Berdepan Tampine Rovers Hari Ini

Kehebatan Terengganu sekali lagi akan diuji kelab Singapura apabila juara Piala FA itu turun menentang Tampines Rovers pada aksi peringkat Kumpulan F kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) malam ini.

Beraksi selaku pasukan pelawat di Stadium Jalan Besar, anak-anak buah Mat Zan Mat Aris itu meletakkan harapan tinggi untuk mengutip tiga mata penuh, sekali gus meneruskan rekod cemerlang di negara jiran tersebut.


Kalang Tie (dikiri) ditagih kelibat hebatnya malam ini.

Sebelum ini, skuad Penyu telah dua kali beraksi di Stadium Jalan Besar menentang Lions XII dengan keduaduanya menghasilkan keputusan positif, termasuk kejayaan menyingkirkan wakil Singapura itu pada suku akhir Piala FA minggu lalu.

“Selepas dua kali beraksi di Singapura, rasanya para pemain telah membiasakan diri dan boleh menyesuaikan corak permainan di atas padang tiruan.

“Lagipun, dua perlawanan terdahulu menentang Lions XII masing-masing berakhir dengan kemenangan dan keputusan seri.

Jadi, tiada alasan untuk kami tidak mampu mengatasi Tampines pada perlawanan esok (malam ini),” kata Mat Zan kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Mat Zan tetap memberi ingatan kepada para pemainnya agar tidak sesekali memandang mudah keupayaan juara tiga kali Liga S itu yang memiliki rangkaian pemain berpengalaman.

Katanya, sekalipun skuad kendalian Steven Tan itu sekadar menghuni kedudukan tercorot dalam Kumpulan F ketika ini, namun kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pasti digunakan sebaiknya oleh pasukan tuan rumah itu.

“Mereka (Tampines) adalah juara Liga S dan memiliki pemain-pemain hebat seperti kapten pasukan Aleksandar Duric, Ismadi Mukhtar, Fahrudin Mustafic dan penjaga Sasa Dreven yang beraksi di posisi penjaga gol.

“Duric sendiri walaupun telah berusia 41 tahun, namun keupayaan pemain kelahiran Yugoslavia ini tidak boleh dipertikai kerana dia telah menjaringkan 46 gol daripada 65 perlawanan bersama kelab itu,” jelasnya.

Justeru, Mat Zan mengakui yang beliau bakal membuat percaturan baharu dengan memasukkan Hasmizan Kamaroddin bagi menggantikan Mazlizam Mohammad yang bakal terlepas perlawanan malam ini.

Turut diketepikan ialah Abdul Manaf Mamat, Marzuki Yusof, Reshafiq Alwi akibat kecederaan, manakala penyerang sensasi, Francis Forkey Doe dan bintang kelahiran Sarawak, Joseph Kalang Tie berada dalam senarainya.

“Kami perlu mengutip mata maksimum di sini bagi memastikan peluang kami ke pusingan kedua menjadi kenyataan,” katanya.

Terengganu yang beraksi buat pertama kali di pentas Piala AFC kini menduduki tempat kedua dalam Kumpulan F dengan tiga mata, manakala kelab Hong Kong, Kitchee kekal selaku pendahulu dengan enam mata selepas dua perlawanan.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment