Monday, April 23, 2012

Prestasi Merudum - Ahmad Said Jumpa Pengurusan PBSNT Esok


Prestasi merosot pasukan bolasepak Terengganu menyebabkan 500 peminat meluahkan kemarahan mereka setelah pasukan Penyu tewas 1-2 kepada Sime Darby di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said akan menemui pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan jurulatihnya esok untuk berbincang mengenai kemerosotan skuad negeri.

Katanya, mungkin beberapa pendekatan boleh dilakukan agar prestasi pasukan dapat dilonjakkan semula dan tidak terus mengecewakan peminat.

"Perkara pokok adalah untuk berbincang serta menyatakan dari sudut pandangan saya mengenai corak permainan pemain kita," katanya di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kekalahan Terengganu kepada pasukan berstatus kelab Sime Darby 2-1 semalam yang menyukarkan Terengganu untuk melangkah ke pentas akhir Piala FA.

Katanya, banyak perkara yang perlu diambil kira, corak pengurusan, kejurulatihan dan juga pemain yang akan menyokong kepada kejayaan kepada satu-satu pasukan.

 "Kita nampak ada ruang untuk perbetulkan kepincangan dan terdapat pemain yang tidak begitu konsisten dan ini diketahui di kalangan pemain-pemain lain," katanya.

Katanya, bukan saja peminat malah beliau juga agak kecewa melihat cara pemain beraksi namun percaya masih ada ruang untuk mengubah keadaan.

"Saya harap kita akan bangkit dalam perlawanan kedua nanti sambil berharap jurulatih dan pemain membuat perubahan pada perlawanan akan datang jika mahu menang dan bergelar juara," ujarnya.

No comments:

Post a Comment