Selepas berjaya mewujudkan rangkaian kedai T-Shoope, T-Lekor dan T-Kafe, kerajaan Terengganu merancang mewujudkan rangkaian kedai peruncitan bahan perkakasan binaan, T-Hardware di setiap Parlimen di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata ia bagi memastikan supaya lebih ramai Bumiputera di negeri ini menceburi sektor berkenaan sekali gus memantapkan penyertaan mereka dalam pasaran Sistem Binaan Industri (SBI).
"Cadangan kita kalau boleh rangkaian kedai T-Hardware itu dibuka bermula Mei ini secara berperingkat-peringkat. Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sudah pun mengenal pasti peniaga yang berminat untuk bekerjasama.
“YPU akan membuat pengubahsuaian kedai itu bagi membantu peniaga mendapatkan peralatan dan bekalan bahan binaan secara terus daripada pembekal utama dari China,” katanya selepas merasmikan pembukaan restoran T-Kafe cawangan Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Mohamed berkata, beberapa pembekal dari China sudah bersetuju untuk membekalkan secara terus peralatan dan bahan binaan terutama simen, paku dan cangkul kepada Pusat Pengumpulan Produk (PPP) milik YPU.
“Kita akan bekalkan bahan binaan ini pada harga lebih rendah kepada setiap T-Hardware.
Selain beroperasi dengan jenama sendiri, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai bahan bagi industri pembinaan dengan harga yang lebih murah dan kompetitif,” katanya.
Katanya, kedai peruncitan itu nanti mampu menonjolkan bentuk perniagaan bahan pembinaan yang tersusun dan sistematik, selain berdaya maju keranan mampu menjana hasil jualan sehingga RM5 juta setahun bagi setiap rangkaian T-Hardware berkenaan..
No comments:
Post a Comment