Tuesday, April 3, 2012

Tabung Haji Sasar 50 Peratus Umat Islam Jadi Ahli

Tabung Haji (TH) Negeri Terengganu mengambil pendekatan melaksanakan promosi secara terbuka melalui aktiviti kemasyarakatan di kampung dan sekolah dalam usaha mencapai matlamat 50 peratus umat Islam menjadi ahli TH.

Pegawai Pemasaran TH negeri, Encik Mazlan Mohamad berkata, promosi secara terbuka ini diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai membuka akaun simpanan dengan TH.


“Sambutan dari masyarakat begitu membanggakan, bila golongan belia turut datang untuk mendaftar di samping orang dewasa dan kanak-kanak,” katanya di majlis Penyerahan Buku Simpanan TH kepada penduduk sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri merangkap Adun Batu Rakit, Khazan Che Mat telah menyerahkan Buku Simpanan TH kepada 100 orang yang membuat pendaftaran melalui promosi TH itu.

Katanya, selain promosi secara terbuka, pihak TH juga mengadakan program mendekati pelajar di sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri untuk menarik pelajar mendaftar sebagai ahli.

“TH juga menawarkan kepada pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun yang berminat untuk menjadi Kelab Taha dengan membuat pendaftaran sebanyak RM2 dan secara automatik layak mendapat buku simpanan,” katanya.

Tambahnya, bagi penuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mereka boleh menjadi ahli Kelab Taha @ U, dengan syarat mereka menjadi pendeposit TH terlebih dahulu

Teganukita

No comments:

Post a Comment