Wednesday, April 18, 2012

Sistem Pendemokrasian Tanah Rakyat Terengganu Rancak Dilaksanakan


“Dulu orang yang pandai, cerdik dan ligat dapat tanah. Yang tidak tahu apa-apa langsung tiada tanah. Sekarang kita ada rekod, sebaik sahaja tekan komputer menggunakan kad pengenalan pemohon kita akan dapat mengetahui sudah berapa banyak mereka mendapat tanah pemberian kerajaan...Berapa banyak tanah mampu milik yang dia beli sendiri, kalau sudah ada lima enam lot tanah yang dia mampu tidak payah lagi minta tanah kerajaan. Kesian kepada yang tidak mampu, tanah pun terhad.” - Ahmad Said

Kerajaan Terengganu menjadikan pengagihan tanah kepada rakyat negeri itu sebagai sistem Pendemokrasian Tanah Rakyat Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahamd Said berkata dasar kerajaan negeri itu ialah untuk memberi satu lot tapak kediaman atau tanah pertanian kepada setiap keluarga kelahiran Terengganu yang masih belum mempunyai tanah.

"Kita bagi kepada mereka yang memohon dengan syarat mereka masih belum mempunyai tanah untuk lot kediaman ataupun tanah pertanian.

"Setiap keluarga kita bagi sama ada lot untuk tapak rumah ataupun lot pertanian iaitu kita bagi dua ekar dengan syarat mereka (suami atau isteri) masih belum mempunyai sebarang tanah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah Daerah Hulu Terengganu di Dewan Akademi Binaan Malaysia, Wilayah Timur Jenagor, Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Adun Kuala Berang, Zawawi Ismail.

Membuktikan sistem pendemokrasian tanah itu rancak berjalan, semalam Menteri Besar menyampaikan geran hak milik tanah kepada seramai 1,372 penduduk Hulu Terengganu yang melibatkan tanah pertanian dan juga tapak rumah.

Sebelum ini beberapa penduduk daerah lain turut menerima anugerah yang sama.

Ahmad Said menegaskan, setiap rakyat Terengganu yang sudah memiliki tanah dan mampu membelinya sendiri tidak dibenarkan lagi untuk memohon tanah kerajaan bagi memberi peluang kepada rakyat yang tidak berkemampuan.

“Dulu orang yang pandai, cerdik dan ligat dapat tanah. Yang tidak tahu apa-apa langsung tiada tanah. Sekarang kita ada rekod, sebaik sahaja tekan komputer menggunakan kad pengenalan pemohon kita akan dapat mengetahui sudah berapa banyak mereka mendapat tanah pemberian kerajaan.

“Berapa banyak tanah mampu milik yang dia beli sendiri, kalau sudah ada lima enam lot tanah yang dia mampu tidak payah lagi minta tanah kerajaan.

Kesian kepada yang tidak mampu, tanah pun terhad,” katanya Menteri Besar berkata, setiap suami mahupun isteri juga perlulah mengelak daripada memohon untuk kali kedua selepas pasangan masing-masing sudah memiliki tanah berkenaan.

“Jika sudah ada tanah atas nama suami, tidak perlu lagi tanah atas nama isteri. Kalu dulu kita bagi tanah atas tapak rumah, sekarang kita bagi pilihan, sama ada tanah tapak rumah atau pertanian.

“Kalau tanah pertanian seluas dua hektar, kalau tapak rumah pula berkeluasan satu lot dan ianya terpulang kepada keluasan lot berkenaan.

Kadang-kadang enam kadang-kadang lapan lot dan kita tengok atas `layout’ yang kita buat, atas kesesuaian,” katanya.

No comments:

Post a Comment