Monday, April 30, 2012

Sukma XV - Ketiadaan Kanu Bukan Segala-galanya Untuk Terengganu

Satu perkara mudah untuk kita menjadi juara, namun untuk mengekalkan kejuaraan itu kita memerlukan komitmen yang tinggi lebih-lebih lagi kita sudah mencipta hatrik kemenangan..."Walaupun kecewa kerana acara kenu tidak diadakan pada Sukma kali ini, namun itu tidak akan mematahkan semangat kontinjen Terengganu dan menganggap ia adalah satu cabaran dalam meraih pingat emas tertinggi sepanjang kejohanan itu berlangsung.” - Rozi Mamat

Biarpun kecewa kanu tidak dipertandingkan, Terengganu tetap optimis mampu mempertahankan status juara keseluruhan buat kali keempat berturut-turut.

Reputasi terbaik setelah berjaya mencatat hatrik kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) pada temasya yang lalu akan dipertahankan kontinjen Terengganu pada Sukma edisi ke-15 di Pahang, Julai depan.

Untuk rekod Terengganu berjaya mencatat hatrik kemenangan ketika menjadi tuan rumah Sukma ke-12 pada 2008, diikuti juara Sukma ke-13 di Melaka (2010) dan Sukma ke- 14 Kuala Lumpur tahun lalu.

Bagaimanapun, rekod kejuaraan itu mungkin sukar dikekalkan berikutan beberapa acara yang membantu Terengganu merangkul tempat pertama sebelum ini tidak lagi dikekalkan terutamanya sukan kanu yang banyak menyumbang pingat emas.


Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat berkata, ketiadaan acara penyumbang besar pingat itu dianggap sebagai cabaran yang perlu ditempuh oleh atlet acara-acara lain untuk memastikan misi mempertahankan kejuaraan dapat dicapai.

"Saya percaya atlet-atlet acara lain sudah bersedia untuk menggalas cabaran untuk Sukma kali ini dengan sebaik mungkin walaupun tanpa penyertaan skuad kanu yang banyak menyumbang emas sebelum ini. "Persediaan kontinjen Terengganu kini memasuki fasa terakhir dan kerajaan negeri berharap agar para atlet akan mempamerkan komitmen yang tinggi untuk memungut emas," katanya.
 
 Terengganu mencipta hatrik selaku juara keseluruhan Sukma iaitu ketika menjadi tuan rumah Sukma ke-12 (2008) Sukma ke-13 di Melaka (2010) dan Sukma ke-14 Kuala Lumpur tahun lalu. Rozi bagaimanapun mengakui ketiadaan kenu dipertandingan kali ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan kedudukan Terengganu dalam usaha mengekalkan kejuaraan.

Pun begitu katanya, cabaran itu pasti digalas dengan sebaik mungkin dan kini persediaan sudah memasuki fasa terakhir yang mana Kerajaan Negeri akan memastikan kesemua atlet serta pegawai sudah bersedia dalam pelbagai apsek.

“Satu perkara mudah untuk kita menjadi juara, namun untuk mengekalkan kejuaraan itu kita memerlukan komitmen yang tinggi lebih-lebih lagi kita sudah mencipta hatrik kemenangan.

"Walaupun kecewa kerana acara kenu tidak diadakan pada Sukma kali ini, namun itu tidak akan mematahkan semangat kontinjen Terengganu dan menganggap ia adalah satu cabaran dalam meraih pingat emas tertinggi sepanjang kejohanan itu berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kunjungan Hormat dan Jemputan ke Kejohanan Sukma ke-15, Pahang di Wisma Darul Iman baru-baru ini. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengarah Majlis Sukan Negeri, Zainal Abidin Hussin; Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Badan-badan NGO Pahang, Datuk Mohd Shafie Abdul Aziz ; Timbalan Ketua Eksekutif Sekretariat Sukma 15 Pahang, Rose Shamsul Abd Razak dan rombongan wakil ahli Sukma Pahang 2012.

Kejohanan Sukma di Pahang akan melibatkan tiga daerah utama iaitu Kuantan, Pekan dan Temerloh yang mana segala persiapan dari sudut pengurusan serta teknikal sudahpun siap sepenuhnya.

Menurutnya, untuk kejohanan kali ini sebanyak 24 acara akan dipertandingkan dengan menawarkan sebanyak 1,179 pingat iaitu masing-masing 348 pingat emas dan perak manakala selebihnya gangsa.

No comments:

Post a Comment