Monday, April 30, 2012

Terengganu Negeri Kedua Tertinggi Penerima E-Kasih Di Semenanjung

Seramai 49,800 penduduk di Kelantan menerima bantuan di bawah program e-kasih sehingga 17 April lepas, menjadikan negeri itu mencatat jumlah penerima paling tinggi di Semenanjung.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata statistik terbaharu menunjukkan secara keseluruhannya Kelantan merupakan negeri ketiga paling ramai penerima bantuan itu selepas Sarawak dan Sabah.


"Sarawak mempunyai 70,554 manakala Sabah 56,707 penerima," katanya kepada pemberita selepas menutup program bakti siswa anjuran Kolej Poly-Tech Mara Kota Baharu di perumahan nelayan Kandis di Bachok.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata Terengganu mencatat 43,500 penerima, negeri kedua tertinggi di Semenanjung diikuti Perak 26,397 penerima.

Sehingga kini, kira-kira 92 peratus rakyat Kelantan yang mempunyai pendapatan bawah RM3,000 sebulan yang dikategori di bawah paras kemiskinan telah menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

No comments:

Post a Comment