Tuesday, April 24, 2012

Sultan Mizan Gembira MB Jalankan Tugas Dengan Penuh Tanggungjawab

 

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyatakan sukacitanya kerana Kerajaan Negeri memberi keutamaan tinggi dalam menanggani masalah rakyat terutama golongan miskin melalui slogan “Tradisi Membela Rakyat”.

Malah, Baginda berterima kasih kepada kepimpinan Kerajaan Negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said yang telah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab sepanjang Baginda menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong.

Baginda juga merasa amat gembira dengan sokongan ikhlas dan kerjasama yang telah diberikan semua pihak dalam memacu pembangunan negeri.

Pada majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri di Kuala Terengganu semalam, Sultan Mizan bertitah, walaupun sepanjang tempoh lima tahun memerintah negara, Baginda sentiasa mengikuti perkembangan Negeri Terengganu dari semasa ke semasa.

Malah Baginda turut gembira kerana kadar kemiskinan negeri ini telah berjaya dikurangkan sehingga pada tahap 3.18% pada Disember 2011.

Sehubungan itu, Sultan Mizan menggesa kerajaan memperbanyakkan Program Latihan Kemahiran dan kerjaya agar golongan miskin ini mempunyai daya saing dalam merebut peluang ekonomi dan pekerjaan, sekaligus mampu keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Seiring dengan usaha Kerajaan Negeri merealisasikan agenda “Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan Negeri” dan wawasan 2020 iaitu Negara Maju dan Negara Berpendapatan Tinggi menjelang 2020,maka agenda membasmi kemiskinan sememangnya menjadi cabaran utama.


Justeru itu, Beta ingin menyarankan Kerajaan Negeri memberi fokus khusus kepada kumpulan miskin tegar,dengan usaha mentransformasikan minda mereka ke arah penjanaan pendapatan untuk membina kehidupan yang lebih baik.

Usaha murni ini perlu diteruskan agar kumpulan ini dapat dikeluarkan dari senarai e-kasih seterusnya dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna,” titah Baginda.

Selain itu, persekitaran ekonomi negara yang semakin baik berikutan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi dan inisiatif polisi makroekonomi kerajaan Pusat, memberi impak positif kepada persekitaran kondusif pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu.

Keadaan itu menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Terengganu pada tahap pertumbuhan 4.5 peratus tahun lalu dengan jumlah pelaburan tempatan RM531.98 juta yang memberi peluang pekerjaan kepada 1,664 orang, titah Baginda.

Titah baginda, jumlah pelaburan asing sebanyak RM1.087 bilion turut menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 2,701 orang.

Sepanjang tahun lepas, empat projek besar diluluskan iaitu projek Bioteknologi CJ-Arkema, projek besi keluli Eastern Steel Sdn Bhd, projek pallet Besi Perwaja Steel Sdn Bhd dan projek silika TRG Industrial Minerals Sdn Bhd.

 "Jika persekitaran ekonomi ini dapat bertahan, dijangka KDNK Terengganu akan mencapai pertumbuhan 4.5 peratus hingga 5 peratus pada tahun ini," titah baginda.

No comments:

Post a Comment