Tuesday, April 24, 2012

Ahmad Said Kesal Kes Dera Kanak-kanak Masih Berlaku

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said melihat keadaan Mohd Danish Aiman yang masih memerlukan sokongan pernafasan sewaktu melawat kanak-kanak mangsa dera itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, Isnin.Turut hadir Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa (kiri).
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said meminta rakyat lebih peka dan berharap kejadian penderaan ke atas kanak-kanak tidak berulang.

Beliau mengulas kes Mohd Danish Aiman Abdullah yang berumur dua tahun setengah yang dilaporkan didera oleh teman lelaki ibunya sehingga dia koma dan terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Mohd Danish kini menunjukkan perkembangan positif setelah menjalani pembedahan di bahagian kepala Sabtu lalu.

Menurut Pakar Bedah Otak dan Saraf Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Dr. Najaimin Udin, keadaan kanak-kanak berusia dua tahun setengah itu semakin stabil.

"Berdasarkan pemeriksaan terdapat kesan-kesan penderaan yang lama terhadap kanak-kanak ini dan kali ini kecederaan agak parah.

"Namun setelah menjalani pembedahan, Mohd Danish menunjukkan reaksi yang baik dan mampu menggerakkan mulut, kaki dan tangan walaupun masih belum sedar sepenuhnya," katanya ketika ditemui di HSNZ, semalam.

 Akibat penderaan itu Mohd Danish mengalami pendarahan pada otak sebelah kiri dan dijangka akan menjalani pembedahan buat kali kedua.

 Ahmad Said menegaskan, ibu kanak-kanak malang terbabit atau sesiapa yang mengetahui mengenai kes dera perlu melaporkannya kepada pihak polis.

Beliau turut kesal kerana ini bukan pertama kali mangsa dilakukan sedemikian rupa. Menurut Ahmad Said, berdasarkan laporan doktor, Mohd Danish telah didera berulang kali berdasarkan kesan lama dan parut yang terdapat di badan kanak-kanak ituMB kesal kes dera kanak-kanak.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak berusia dua tahun dari Kampung Tualang, Manir, yang dipercayai ditampar dan dipukul teman lelaki ibunya, Sabtu lalu.

Menteri Besar yang melawat mangsa petang semalam, berkata manusia normal tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu, apatah lagi ia melibatkan kanak-kanak yang memerlukan belaian manja keluarga.

“Kita boleh menilai mana yang baik atau buruk, sebelum melakukan sesuatu tindakan. “Saya hairan mengapa ibu kanak-kanak itu lebih menyayangi teman lelaki berbanding anak sendiri,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan yang diperlukan mangsa sepanjang menjalani rawatan di hospital itu.

“Pihak kami meminta pihak berkuasa segera menahan suspek supaya tindakan atau hukuman setimpal dapat dikenakan.

“Jenis hukuman atau tempoh beberapa lama yang bakal dikenakan terhadap suspek, diharap dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Kanak-kanak itu ditemani di hospital oleh ibunya, Norisah Kassim, 22, yang enggan ditemui pemberita.

No comments:

Post a Comment