Thursday, April 19, 2012

Terengganu Cadang Bina Empangan Mini Hidro Bekal Elektrik Untuk TNB

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kelmarin meninjau tapak pembinaan Projek Hidroelektrik Kedua Tasik Kenyir yang sedang dalam pembinaan di Tasik Kenyir.

Kerajaan Terengganu sedia membina empangan mini hidro untuk membekalkan tenaga elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) jika kosnya tidak terlalu besar dan boleh memberi pulangan ekonomi yang baik.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan TNB bagi tujuan itu sebagai langkah membantu membekalkan tenaga elektrik bagi jangka masa panjang.


"Jika ia boleh memberi pulangan ekonomi yang baik menerusi hasil pembinaan mini hidro itu, adalah satu keuntungan yang memberi manfaat kepada rakyat dan kerajaan negeri.

"Kalau kos membina empangan mini hidro itu sekadar RM10 juta atau RM20 juta dan tenaga elektrik boleh dibekalkan kepada TNB dengan kadar harga yang dipersetujui, mengapa tidak kita bina sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai status projek pembinaan Empangan Hidro Elektrik Hulu Terengganu di Kampung Tembat di Hulu Terengganu yang disampaikan oleh Naib Presiden Penjanaan TNB, Datuk Ir Mohd Nazri Shahruddin.

Empangan itu adalah empangan kedua (selepas Empangan Sultan Mahmud Tasik Kenyir), dibina awal Januari tahun lalu di Tasik Puah dan Tasik Tembat dengan keluasan 6,130 hektar melibatkan kos RM1.6 bilion yang mampu menjana tenaga 250 megawatt dijangka siap sepenuhnya dan diguna pakai menjelang 2015.

Menjelang 2014, ketika pembinaan empangan itu hampir 14 peratus siap, ia akan mula menakung air dari beberapa sungai sekitarnya sebelum operasi menjana tenaga dilakukan.

Mengulas pembinaan empangan itu boleh mengatasi masalah banjir, beliau berkata, sekurang-kurangnya ia boleh mengawal air dan mengurangkan kesan banjir di kawasan Hulu Terengganu khususnya.

Mengenai kawasan empangan itu yang mungkin turut dijadikan kawasan pelancongan seperti Tasik Kenyir, Ahmad Said berkata, perkara itu akan dilihat keperluannya kerana ia termasuk dalam kawasan keselamatan.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata, pembinaan Empangan Hidro Elektrik kedua itu dijangka dapat disempurnakan mengikut jadual kerana pekerja giat menjalankan kerja-kerja pembinaan.

"Proses pembinaan kini dalam 14 peratus. Dari segi projek lain hampir 20 peratus," jelasnya.

No comments:

Post a Comment