Thursday, April 19, 2012

Penjawat Awam Perlu Tingkatkan Prestasi Beri Perkhidmatan Terbaik


Penjawat awam di negeri ini diseru meningkatkan prestasi kerja supaya dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Seruan dibuat oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah bertujuan supaya sasaran mencapai pengiktirafan lima bintang terlaksana dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai mulai tahun ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan warga kerja Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu semalam, beliau percaya usaha Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mencapai pengiktirafan lima bintang oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) itu dapat dicapai.

Mazlan berkata bagi merealisasi sasaran itu penjawat awam perlu peka dengan keperluan pelanggan dengan mengikut panduan pekeliling pengurusan kerana tugas utama mereka sebagai pemudah cara menyelesaikan pelbagai masalah atau memenuhi keperluan rakyat.

“Mereka juga perlu memahami realiti semasa, berani membuat perubahan dan proses anjakan perlu dilakukan secara kreatif, berterusan dan berfikiran secara terbuka.

“Dalam konteks pentadbiran dan pembangunan negeri pula antara cabaran yang harus dirungkai antaranya termasuk meningkatkan prestasi dan kemampuan negeri ke tahap yang lebih cemerlang, memperkukuhkan daya saing dan daya tahan serta lebih berinovatif,” katanya.

Seramai 15 kakitangan menerima Anugerah Perkhimatan Cemerlang (APC) bagi tiga bulan berturut-turut iaitu Januari, FebruarI dan Mac.

Pada masa sama, penyampaian hadiah kepada pemenang program `The Health Centre’ turut diadakan. Mazlan turut memberitahu, selaras dengan pendekatan ‘merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ yang dilaksanakan sekarang, segala urusan pentadbiran mesti dipermudahkan, bersifat menolong rakyat serta berorieantasikan faedah kepada rakyat.

“Dalam era globalisasi kini, tugas yang dipikul oleh penjawat awam bukan lagi sekadar memenuhi waktu pejabat semata-mata, malah dalam situasi tertentu kadangkala penjawat awam perlu berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi mengutamakan kepentingan awam,” katanya.

No comments:

Post a Comment