Thursday, April 26, 2012

Terengganu Perlu Kebal, Sime Darby FC Mahu Cipta Sejarah Kelab

Forkie Doe perlu melipatgandakan kudrat
Kemenangan Terengganu 6-2 ke atas pasukan Song Lam Nghe An dari Vietnam pada kelayakan ke pusingan kedua Piala Konfederasi Asia (AFC) semalam pastinya menyuntik semangat baru untuk bertandan ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang Selasa ini (1 Mei).

Tujuannya ialah menjamin ke final Piala FA untuk dua tahun berturut-turut dengan menundukkan Sime Darby FC yang ketika ini mempunyai kelebihan selepas menang 2.0 di Kuala Terengganu.



Pasukan berstatus kelab dari Liga Perdana, Sime Darby FC yang kini turut melakukan persiapan terakhir sebelum turun bertemu juara bertahan, Terengganu itu dan pastinya mahu turut merekodkan sejarah.

Skuad kendalian Ismail Zakaria itu mengejutkan banyak pihak apabila menewaskan Terengganu 2-1 pada separuh akhir pertama di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Ia kini pada landasan terbaik muncul pasukan berstatus kelab pertama beraksi di pentas final Piala FA sejak diperkenalkan pada 1990.

Terbukti sudah semalam, skuad Penyu bangkit selepas menerima nasihat ‘peminat bolasepak No 1 Terengganu’ Datuk Seri Ahmad Said kelmarin dengan melakar kemenangan di hadapan sekitar 3,000 penyokong sendiri.

Pemain dan pegawai PBSNT semalam berhadapan dengan tekanan psikologi penyokong akibat beberapa siri kekalahan pasukan Pantai Timur itu sejak akhir-akhir ini selain penyokong Terengganu yang semakin tidak sabar dengan keputusan kekalahan berterusan.

Namun semalam ternyata skuad Penyu boleh mempersembahkan aksi bertenaga dan penyerang Terengganu seperti Mohamad Ashari Samsudin, pemain import dari Liberia, Francis Forkey Doe, Abdul Hadi Yahaya serta Joseph Kalang Tie masih berbisa

Kalang Tie sebagai pemain tengah mampu mengumpan dengan baik dan barisan pertahanan perlu menjamin mereka tidak ‘bocor’ kerana penyerang Sime Darby sangat berbisa.

Seperti Terengganu yang mungkin tidak dapat turunkan Manaf Mamat kerana cedera, Sime Darby juga tidak dapat turunkan penjaring utama, Patrick Ronaldinho Wleh.

Dia digantung perlawanan tetapi jangan pandang rendah kepada gandingan dua penyerang tempatan, Zamri Hassan dan Razali Umar Kandasamy.

 Ismail turut mengakui persiapan kali ini lebih rapi kerana Terengganu pasti turun habis-habisan untuk baki 90 minit ini ditambah mereka kembali mantap dapat menurunkan Ismail Faruqi Ashari (gambar kanan) dan Zubir Azmi.

“Kami perlu siap sedia dengan segala kemungkinan,” katanya.

Bagi memastikan barisan pemainnya berada pada momentum terbaik mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 13 perlawanan terakhir sejak tewas 1-2 kepada Johor, 27 Januari lalu, Ismail mengatur aksi persahabatan menentang Selangor di Padang SUK, Shah Alam, petang Jumaat esok.

“Tanpa kalah 13 perlawanan, ia satu rekod membanggakan yang terhasil daripada semangat tinggi pemain yang beraksi secara berpasukan dan berdisiplin. Ia nyata meningkatkan motivasi pemain yang turut berhajat menjadikan Sime Darby kelab pertama menjulang Piala FA,” jelas Ismail.

No comments:

Post a Comment