Pasukan Lions XII dari Singapura terus mengekalkan kedudukan pendahulu Liga Super selepas mencatatkan kemenangan tipis, 1-0 ke atas Johor FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, semalam.
Gol tunggal jaringan penyerang Khairul Nizam pada minit ke-42 sudah memadai untuk skuad bimbingan V. Sundramoorthy itu untuk terus mengekalkan kedudukan liga dengan mengutip 30 mata selepas mengharungi 14 perlawanan.
Saingan terdekat mereka, Kelantan hanya mampu mengutip satu mata selepas terikat 1-1 ketika bertemu Sarawak di Stadium Negeri Sarawak di Kuching.
Selangor pula kembali menemui sentuhan berbisa mereka selepas membelasah Terengganu, 6-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Felda United dan Perak turut mengikuti jejak langkah Selangor selepas menumpaskan lawan masing-masing di laman sendiri pada perlawanan malam semalam.
Felda United menumpaskan Kedah, 2-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka menerusi jaringan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-50 dan pemain importnya Mickael Antoine Curier pada minit ke-83.
Perak pula mencatatkan kemenangan tipis, 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Perak, Ipoh dengan dua jaringan skuad Seladang dijaringkan oleh Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke-40 dan Mohd Rafiuddin Roddin pada minit ke-64 sebelum pemain import pelawat Emmanuel Okine mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-90.
Negeri Sembilan pula hanya mampu mencatatkan keputusan seri, 2-2 ketika bertemu Sabah di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Kelmarin, T-Team tewas di tangan PKNS Selangor 1-4, sesuatu yang cukup memalukan kerana kalah di gelanggang sendiri.
No comments:
Post a Comment