Saturday, April 28, 2012
Tiga Pelumba Negara Gagal Naik Podium Akibat Pelanggaran
Tiga pelumba Malaysia – Mohd Nur Rizuan Zainal, Mohamad Saufi Mat Senan dan Mohd Zamri Salleh terlepas peluang menaiki podium apabila terlibat dalam kemalangan ketika sedang memimpin perlumbaan pada 300 meter ke garisan penamat perlumbaan peringkat ke-5 dari Geochang ke Gumi sejauh 146.8 kilometer pada Tour de Korea 2012 semalam.
Seramai 12 pelumba terjatuh dalam kemalangan ke garisan penamat tersebut termasuk pemegang jersi kuning dari Terengganu Cycling Team (TSG), Chan Jae Jang sekali gus meranapkan peluang mana-mana pelumba dari Malaysia untuk mengucup kemenangan podium semalam.
Namun nasib menyebelahi dua pelumba TSG dan skuad kebangsaan Malaysia, Muhammad Nur Amirull Mazuki serta Muhammad Rauf Nur Misbah yang sempat mengelak dari terjatuh dalam kemalangan tersebut, sekali gus menamatkan perlumbaan pada tempat ke-28 dan ke-38 dengan catatan masa 3 jam 57 minit 19 saat.
Perlumbaan peringkat kelima dimenangi tonggak Team Type 1, Sanofi dari Amerika Syarikat; Alexander Serebrayakov sambil diekori pelumba Team Nippo; Maximiliano Richeze dan Aaron Kemps dari Champion System Pro Cycling Team dengan catatan masa 3:57:19s.
Pelumba berpengalaman, Suhardi Hassan pula sekadar menduduki tempat ke-61, Muhammad Khairul Aziz Abdullah ke-62, Mohd Nur Rizuan ke-94, Mohamad Saufi ke-99 dan Mohd Zamri ke-100.
Dua lagi pelumba Malaysia, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi dan Mohd Zulhilmie Afif Ahmad Zamri gagal menamatkan perlumbaan gara-gara masalah teknikal.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment