Tuesday, April 17, 2012

“Tolong, Jangan Letak Jawatan Untuk Mewakili PAS Bertanding Dalam PRU13” – Ahmad Said


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said semalam menasihati pegawai Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang berhajat meletakkan jawatan untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 mewakili PAS supaya berfikir dua kali.

Menurutnya selain berdepan dengan kekalahan pada Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bukit Besi itu, pegawai berkenaan juga perlu meneruskan tugasnya sebagai pegawai Ketengah yang begitu murni membangunkan rakyat luar bandar.

DUN Bukit Besi adalah dalam kawasan Parlimen Dungun dan wakil rakyatnya kini ialah daripada Barisan Nasional, Datuk Din Adam.

Menurut Ahmad Said, kakitangan Ketengah tidak sewajarnya menjadi ‘gunting dalam lipatan’ kerana mereka memegang amanah untuk menjamin segala perancangan dan pelaksanaan dijayakan sebaik-baiknya.

“Selain itu kerajaan kini sudah memperbaiki mutu dan habuan perkhidmatan awam yang sepatutnya direbut dan dipertahankan oleh mereka yang kini menikmati pelbagai kemudahan.

“Selain gaji dan bonus, kakitangan kerajaan termasuk Ketengah kini menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.


Ahmad Said mengatakan demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan kakitangan Ketengah di Bandar Al-Muktafibillah Shah di Dungun semalam. Turut hadir Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud.

Dalam ucapannya kira-kira tiga jam itu, Menteri Besar turut menyentuh mengenai pentingnya Ketengah menilai semula perancangan dan pelaksanaan dasar-dasarnya agar sesuai dengan tuntutan semasa.

Katanya dengan mempunyai kira-kira 600 kakitangan, Ketengah mampu melonjakkan pendapatan penduduk di wilayah itu setanding dengan kawasan lain yang sudah maju di negeri ini.

Dengan pelbagai pendekatan baru, termasuk membangunkan Tasik Kenyir, yang sehingga kini sebanyak RM400 juta sudah dibelanjakan, peranan Ketengah kini bukan sekadar membangunkan wilayah tetapi juga memajukan sektor pelancongan dan perniagaan yang berkaitan dengannya.

“Kakitangan Ketengah perlu memainkan peranan membantu menjayakan matlamat Kerajaan Negeri yang menjadikan sektor pelancongan sebagai sektor ketiga dalam pendekatan pembangunan negeri,” katanya.

Selain pembangunan Tasik Kenyir, Ketengah juga sedang melaksanakan pelbagai pembangunan perbandaran bernilai RM30 juta, termasuk pembinaan rumah kedai dan rumah tamu.

Ahmad Said pada majlis itu turut menyampaikan Anugerah Cemerlang kepada kakitangan Ketengah di kawasan perbandaran kerana sumbangan mereka dalam perkhidmatan, sukan dan kemasyarakatan.

No comments:

Post a Comment