Najib Tun Razak berucap sempena Istiadat Pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV di Balairong Seri, Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. |
Sebaik selesai kemuncak istiadat itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu 'Perang' bergema di Balairong Seri dan para hadirin berdiri serta melaungkan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali diketuai pemangku Datuk Maharaja Lela, Azwan Effendy Zairakithnaini.
Serentak itu juga, tembakan meriam 21 das dilepaskan dan lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia diketuai Lt. Sabri Abdullah.
Istiadat pertabalan yang berlangsung penuh warna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.
Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya pada istiadat pertabalan Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV di Istana Negara semalam, berkata kerajaan telah membatalkan tiga proklamasi darurat adalah kerana yakin rakyat kini telah bersedia untuk memasuki era baru.
“Kerajaan percaya bahawa setelah lebih separuh kurun merdeka dan mengamalkan demokrasi, masyarakat berbilang kaum di Malaysia telah mencapai tahap kematangan yang tinggi.
“Berpegang kepada hal itu, kita kini bersedia memasuki era baru di mana fungsi kerajaan tidak lagi dilihat sebagai mengehadkan kebebasan individu, sebaliknya, untuk memastikan bahawa hak-hak asasi yang dilindungi Perlembagaan bagi setiap individu itu terjamin,” kata beliau.
Najib berkata: “Selanjutnya, satu perimbangan adil, dapat pula ditemui antara kebebasan seseorang dan keselamatan kebangsaan.”
Kata beliau, bersesuaian dengan iltizam itu, kerajaan melalui Parlimen telah pun membatalkan tiga proklamasi darurat yang masih berkuasa dan akan membiarkan kesemua ordinan di bawah perisytiharan tersebut mansuh pada bulan Jun ini kecuali tiga ordinan yang akan dibentangkan sebagai rang undang-undang baru di Parlimen iaitu yang berkaitan dengan Rela, Rukun Tetangga dan Undang-Undang Laut Wilayah.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga telah mengambil langkah-langkah memansuhkan Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan menggubal Akta Perhimpunan Aman serta meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU.
Menurut beliau, pada Isnin ini, beliau akan membentangkan rang undang-undang bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di persidangan Dewan Rakyat.
No comments:
Post a Comment