Tuesday, May 15, 2012

20 Bayi Dilahirkan Melalui Teknik IVF Sejak 2009

Seramai 20 bayi berjaya dilahirkan melalui teknik bayi tabung uji yang memerlukan pasangan suami isteri melakukan proses persenyawaan in vitro (IVF) di Terengganu sejak November 2009.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu Dr A Rahman Mokhtar berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk membeli peralatan bagi membolehkan proses kesuburan itu dilakukan.

"Setakat ini, hanya empat hospital di bawah Kementerian Kesihatan yang melakukan prosedur ini, dan Hospital Sultanah Nur Zahirah adalah satu antaranya.

"Kadar kehamilan dan kelahiran yang berjaya pula adalah sebanyak 25 peratus sahaja kerana ada pasangan suami isteri yang mempunyai masalah tertentu seperti benih tidak subur dan rahim tidak sesuai untuk hamil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Sedunia peringkat negeri Terengganu di Dewan Daerah Marang kelmarin.

Beliau berkata kerajaan negeri menerima banyak permohonan daripada pasangan suami isteri yang tidak mempunyai zuriat untuk mendaftar sebagai peserta program kesuburan itu.

Bagaimanapun, pakar kesihatan akan memeriksa pasangan terbabit dan mereka yang melepasinya sahaja layak mendaftar.

"Selain itu, kita juga akan mengkaji status kewangan pasangan suami isteri itu bagi memastikan bayi yang bakal lahir nanti mampu dibesarkan dalam keadaan rumah tangga yang stabil dan harmoni," katanya.

No comments:

Post a Comment