Sunday, May 27, 2012

450 Jemaah Ke Mekah Melalui Penerbangan Terus Saudi Arabian Airlines

Sebahagian jemaah umrah dihantar oleh sanak saudara di LTSM, Kuala Terengganu, semalam.
Seramai 450 jemaah yang berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan umrah awal pagi ini menjadi kumpulan penumpang pertama yang menggunakan perkhidmatan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Jeddah.

Penerbangan menggunakan pesawat Airbus 350 itu berlepas dari LTSM kira-kira pukul 3.50 pagi.

Hadir menyaksikan pelepasan jemaah umrah itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.

Penerbangan itu susulan daripada termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan syarikat penerbangan Saudi Arabian Airlines bagi meningkatkan pengendalian urusan umrah dan haji secara terus dari Kuala Terengganu pada 19 April lalu.

Kerjasama strategik itu juga sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai hab umrah dan haji di Pantai Timur dengan kemudahan lebih luas untuk rakyat menunaikan ibadat itu.

Ia menerima sambutan yang baik daripada panel-panel ejen pengendali umrah, haji dan pelancongan termasuk Rayhar Travel, TH Travel, Zahafiz Travel, Interleisure Travel, Asari Murni Travel, Yaskin Travel dan Imtiyaz Travel.

Turut serta dalam penerbangan pertama itu ialah Pengarang Mingguan Malaysia, Zin Mahmud. Penerbangan umrah kedua dari LTSM terus ke Jeddah dan Madinah dijadual pada 19 Julai ini.

Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment