Tuesday, May 8, 2012

Ahmad Said Bertemu 15,000 Warga Felda Jelaskan Tuduhan, Fitnah

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dijangka memberi penjelasan kepada peneroka berhubung isu-isu semasa, termasuk pelbagai tuduhan dan fitnah yang ditimbulkan pihak pembangkang bagi memburuk-burukkan kerajaan  pada program bertemu warga Felda antara 13 Mei dan 4 Jun depan.

Beliau dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud, akan hadir pada Majlis Perjumpaan dengan kira-kira 15,000 warga Felda di seluruh negeri, bagi beramah mesra dan menyampaikan amanat kepada peneroka berkenaan.

Bagi tujuan itu, pihak kerajaan negeri dengan kerjasama Felda, mengatur lapan lokasi berasingan mulai 13 Mei depan.

Pelbagai acara termasuk sukan, kebudayaan dan ceramah isu-isu semasa telah siap diatur bagi memeriahkan “Program Turun Padang” pemimpin negeri itu.

Majlis pertama dirancang di dewan sivik Felda Belara, pada 13 Mei, melibatkan kehadiran 2,600 orang peneroka dan ahli keluarga mereka dari Felda Belara, Chalok Barat dan Chalok.

Program kedua diadakan di dewan sivik Felda Jerangau Barat (14 Mei) melibatkan peneroka Felda Jerangau Barat, Mengkawang dan Tersat (2,000 orang) manakala di dewan sivik Felda Jerangau (22 Mei) akan dihadiri peneroka Felda Jerangau (1,000 orang).

Bagi perjumpaan di dewan sivik Felda Neram (27 Mei), kira-kira 2,200 orang dari Felda Neram I dan Neram II akan hadir manakala di dewan sivik Felda Cerul (28 Mei), sejumlah 1,000 orang dari Felda Cerul dan Seberang Tayor, hadir.

Manakala perjumpaan di dewan sivik Felda Bukit Bading (29 Mei), kira-kira 1,200 peneroka Felda berkenaan akan hadir.

Seramai 4,000 orang dari Felda Kerteh 1, Kerteh 2, Kerteh 3, Kerteh 4, Kerteh 5 dan Kerteh 6 dijangka hadir di Dewan Besar Pusat Latihan Kerteh pada 3 Jun, bagi majlis yang sama.

Penutup majlis berkenaan akan diadakan di balai raya Felda Selasih pada 4 Jun melibatkan kehadiran peneroka Felda Selasih dan Tenang, Besut.

Pada majlis itu, To’ Puan Norliza akan melawat beberapa rumah peneroka terpilih yang melibatkan warga emas, Orang Kelainan Upaya dan peneroka yang uzur, untuk menyampaikan bantuan.

Teganukita

No comments:

Post a Comment