Tuesday, May 8, 2012

Peter Butler Ganti Mat Zan Sebagai Penggendali Skuad Penyu?

Butler yang disebut-sebut akan menjadi penggendali Sang Penyu.
Nasib Mat Zan Mat Aris!

Hanya kerana gagal mengulangi kejayaan ke Final Piala FA dan prestasi kurang memberangsangkan bagi Piala Liga Super, beliau menjadi mangsa.

Ketika terdesak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menawarkan jawatan secara tergesa-gesa untuk menggantikan Irfan Bakti yang mengambil keputusan berhijrah ke Selangor.

Tetapi kini?

Mat Zan mengambil keputusan melepaskan jawatan.



Nasib Mat Zan bersama Terengganu akhirnya terjawab apabila ketua jurulatih Skuad Penyu itu mengambil keputusan untuk meletak jawatan kelmarin. Ia berkuat kuasa 1 Jun depan.

Mungkin bagi Mat Zan lebih 'bermaruah meletakkan jawatan' daripada dipecat!

Mat Zan mungkin dapat membaca apa yang ada dalam kepala pengurusan Terengganu sekiranya beliau 'berdegil' tidak melepaskan jawatan itu.

Keputusan meletakkan jawatan itu disahkan oleh Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh selepas perbincangan dengan bekas jurulatih Pos Malaysia itu.

Siapa penggantinya?

Che Mat mengelak daripada memberikan jawapan tepat.

Banyak yang bercakap bahawa Terengganu mungkin menawarkan kepada bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler.

Sama ada benar atau tidak akan diketahui dalam satu atau dua minggu ini.

Che Mat dilaporkan Kosmo semalam menyebut, kini terdapat beberapa individu yang berminat untuk membimbing skuad Terengganu.

Begitupun katanya, keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat PBSNT dalam masa terdekat. "Ada beberapa calon yang berminat untuk membimbing pasukan Terengganu.

"Mereka terdiri daripada jurulatih yang berasal dari Korea Selatan dan juga Singapura.

"Malah, bekas jurulatih kebangsaan juga ada menyatakan minat mereka untuk menjadi jurulatih Terengganu.

"Begitupun, kami akan bermesyuarat terlebih dahulu dan mengenal pasti latar belakang jurulatih tersebut sebelum memutuskan jurulatih baharu yang bakal menggantikan Mat Zan pada Jun depan," katanya.

Selepas perlawanan dengan Sime Dardy FC, PBSNT mengarahkan Mat Zan bercuti rehat selama dua minggu selepas menyaksikan Terengganu tewas kepada pada aksi separuh akhir Piala FA.

Penolong Ketua Jurulatih, Mohd. Khalid Dahan dilantik sebagai pengendali sementara dan dibantu oleh bekas penjaga gol Terengganu, Zuber Ibrahim yang bertindak sebagai pembantu jurulatih.

Mengulas lebih lanjut, Che Mat berkata, keputusan itu diambil atas dasar persefahaman serta persetujuan antara kedua-dua pihak tersebut.

"PBSNT mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan Mat Zan kepada pasukan Terengganu selama ini.

 "Mat Zan mengakui sedikit tertekan terutama selepas kegagalan layak ke final Piala FA.

"Justeru, Mat Zan percaya langkah yang diambilnya sebagai tepat demi mengembalikan prestasi cemerlang Terengganu," katanya sebelum berlepas ke Hong Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

No comments:

Post a Comment