Wednesday, May 2, 2012
Azmin: Dakwaan Seks Fitnah Umno Menjelang PRU13
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengecam keras tindakan beberapa blog pro-Umno yang mendakwanya melanggan seks sambil menyifatkan ia sebagai satu "fitnah" terbaru pihak Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Kata Azmin, ia fitnah yang ditohmah ke atas dirinya untuk mengaibkan beliau dan keluarga susulan nasib dilalui Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu.
"Fitnah jelek ini disebarkan oleh media yang dikuasai Umno yang memetik sumber blog pro-Umno.
"Fitnah ini memaparkan seorang lelaki yang mereka tohmah sebagai saya bersama seorang wanita dalam tandas.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut. Ianya adalah fitnah ulangan menggunakan modus operandi yang sama yang digunakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata beliau dalam satu kenyataan media semalam.
Azmin berkata, beliau amat kesal memandangkan tindakan menyiarkan bahan sedemikian adalah fitnah bersiri terhadapnya dan juga keluarganya selepas fitnah jijik ke atas isteri dan anak-anaknya, disusuli dengan dakwaan pemilikan saham.
"Munculnya fitnah ini tatkala Umno dihimpit krisis keyakinan dan menjadi sasaran kemarahan rakyat selepas perhimpunan Bersih adalah untuk mengalih pandangan rakyat dari isu sebenar iaitu isu penipuan pilihan raya dan penyelewengan dana awam," kata Azmin sambil menegaskan, "saya tetap tuntas dengan perjuangan membawa obor reformasi demi rakyat."
No comments:
Post a Comment