Lawan Sime Darby pada final 19 Mei ini ialah Kelantan, yang layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan setelah terikat 2-2 dengan Kedah di Alor Setar.
Di Stadium Majis Perbandaran Selayang, walaupun berdepan asakan sepanjang 90 minit perlawanan oleh skuad Mat Zan Mat Aris, pertahanan Sime Darby menghampakan kesungguhan Terengganu walaupun turun tanpa dua pemain utama, Patrick Ronaldinho dan Mohd. Irme Mat.
Kelantan pula melangkah bergaya selepas mencatat keputusan 2-2 dengan Kedah pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi sekali gus mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.
Pada aksi pertama minggu lalu, kedua-dua pasukan turut mencatat keputusan seri 1-1.
Di Stadium Darul Aman, impian Kedah untuk beraksi pada final Piala FA buat kali kelima tidak kesampaian apabila diikat 2-2 oleh Kelantan untuk kedudukan 3-3 secara agregat.
|
Pemain Kedah, Vedran Gerc (kiri) melepasi pertahanan Kelantan pada
separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam. |
Meskipun terikat dengan agregat 3-3 tetapi skuad Bojan Hodak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan setelah seri 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Kota Bharu..
Kedah pernah beraksi di final Piala FA pada tahun 1996, 2007 dan 2008 dengan meraih gelaran sebagai juara, namun pada tahun 2010 mereka dihampakan Negeri Sembilan yang pada masa itu dibimbing Wan Jamak Wan Hassan.
Nasib ternyata tidak menyebelahi anak-anak buah pengendali yang berasal dari Johor itu berdasarkan perkiraan gol ditempat lawan menerusi agregat 3-3.
Kelebihan dua jaringan pada babak pertama menerusi jaringan penyerang licik, Mohd. Khyril Muhymeen Mohd. Zambri yang mampu memberi kelebihan kepada Kedah gagal dipertahankan sehingga wisel penamat.
Sebaliknya Kelantan bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain pertahanan, Obinna Nwaneri dan penyerang, Mohamed Ghaddar.
Kedua-dua pasukan yang mahu mencari jaringan awal sebagai gol semangat saling mengasak sebaik wisel dibunyikan pengadil M. Yusof Mat Karim.
Pasukan tuan rumah berpeluang mendahului menerusi Gerc pada minit ke-29, namun diselamatkan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat.
Usaha skuad Kenari akhirnya berhasil menerusi sepakan percuma ketua pasukan Baddrol Bakhtir yang dikuis cantik Mohd. Khyril Muhymeen pada minit ke-31 dan satu gol oleh Mohd. Khyril pada minit ke-42.
Kelantan memulakan babak kedua dengan langkah kanan apabila merapatkan kedudukan menerusi pemain import, Obinna Nwaneri yang menanduk masuk bola sepakan sudut Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-47.
Mohd. Khyril Muhymeen yang berjaya melepasi pertahanan pasukan pelawat sekali lagi berpeluang melebarkan jaringan dua minit kemudian, namun sepakannya diselamatkan Khairul Fahmi.
Pasukan pelawat akhirnya memperoleh gol penyamaan menerusi Mohamed Ghaddar pada minit-61.
|
No comments:
Post a Comment