Thursday, May 10, 2012

Pusingan Kedua Piala AFC - Terengganu Bertemu Kelantan 23 Mei


Baginilah Nasib Bolasepak!

Akan berlaku pertempuran sesama pasukan Pantai Timur – Kelantan dan Terengganu – pada pusingan kedua Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas Terengganu berada pada kedudukan tangga kedua Kumpulan F selepas perlawanan semalam.

Terengganu mengikuti Kelantan untuk mara ke pusingan kedua Piala AFC selepas Terengganu dan Kitchee FC Hong Kong terikat 2-2 pada perlawanan terakhir kumpulan semalam.

Terengganu perlu menang untuk mengelak bertemu Kelantan tetapi itulah nasib bolasepak.

Kitchee menjaringkan gol pertama melalui Jorge Tarres Paramo pada minit ke 9 sebelum dibalas oleh Ashaari Shamsuddin (gambar atas) pada minit ke 15.

Paramo sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke 45 untuk mendahului masa pertama 2-1.

Namun, Abdul Hadi Yahya (kiri) yang dijatuhkan dalam kotak penalti kemudian mengambil sepakan penalti pada minit ke 71 untuk menyamakan kedudukan. Kitchee mengungguli kumpulan dengan 11 mata sementara Terengganu dengan sembilan mata dan akan bertandan ke Sultan Mohd IV di Kota Bharu pada 23 Mei.

Sebelum itu dalam kumpulan sama, Song Lam Nghe An Vietnam mengalahkan Tampines Rovers 3-0 . Kelantan pula mara ke pusingan kedua Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas menewaskan kelab Myanmar, Ayeyawady United 1-0 di Kota Bharu malam kelmarin.

Kelantan terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk memecah kebuntuan gol menerusi jaringan Nwoha Onyekachi pada minit ke-47.

Jaringan tunggal perlawanan tersebut berpunca daripada rembatan Mohamad Ghaddar yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Ayeyawady, Thia Si Thu, sebelum berjaya disudahkan Nwoha dalam keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol pasukan pelawat.

Kemenangan itu membolehkan Kelantan mengekalkan kedudukan tangga teratas Kumpulan H dengan 13 mata, sekali gus layak ke pusingan kedua.

Ayeyawady pula di tangga ketiga dengan tujuh mata selepas dua kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.

Pada perlawanan kelmarin, Kelantan sepatutnya mampu mencatat kemenangan lebih besar, namun deretan peluang yang terhidang gagal disempurnakan oleh barisan depan skuad Red Warriors.

No comments:

Post a Comment