Wednesday, May 30, 2012

Bajet 2013 Dibentang 28 September Fokus Kesejahteraan Rakyat


Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan pembentangan Bajet 2013 di Parlimen pada 28 September ini berkata, perbelanjaan akan tertumpu kepada pertumbuhan yang berkualiti dan seimbang selain menjamin kesejahteraan rakyat.

Dalam pembentangan Bajet yang selalunya dibuat pada bulan Oktober, kata Perdana Menteri, kerajaan komited untuk mengukuhkan kedudukan kewangan awam serta mengekalkan momentum pertumbuhan negara.

''Saya memberi jaminan bahawa pengukuhan fiskal berada pada landasan yang baik untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana sekitar tiga peratus menjelang 2015.


''Mengekalkan momentum pertumbuhan ketika berdepan cabaran luar menjadi satu keutamaan kita, tetapi ia akan dilakukan melalui pendekatan fiskal yang bertanggungjawab," katanya ketika berucap dalam majlis konsultasi Bajet 2013 di Kementerian Kewangan di Putrajaya semalam.

Majlis konsultasi yang bertemakan Memacu Transformasi Ke Arah Negara Maju itu dihadiri pakar pelbagai bidang untuk membentang dan membincangkan isu-isu makro, sektoral dan sosial.

Kementerian Kewangan telah menerima 84 memorandum yang akan dipertimbangkan dalam perancangan Bajet 2013, isu-isu spesifik pula diteliti melalui kumpulan-kumpulan fokus yang lebih kecil.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pernilaian perbelanjaan awam telah dilakukan melalui bantuan Bank Dunia dan kerajaan sedang melaksanakan cadangan-cadangan yang diberikan.

Katanya, satu jawatankuasa dalam Perbendaharaan juga telah ditubuhkan untuk melihat isu-isu mengenai kemapanan fiskal pada jangka masa panjang.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia mesti memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi bagi mengukuhkan daya saing di peringkat global.

Menurut Najib, sumbangan pelaburan swasta dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih rendah tetapi boleh diperbaiki iaitu pada 12.7 peratus manakala sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam ekonomi berada pada 31 peratus.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengemukakan idea dan mencadangkan langkah spesifik bagi mengatasi pelbagai cabaran, khususnya yang melibatkan kesejahteraan rakyat.

''Program transformasi negara telah memasuki tahun ketiga yang mana pelbagai kejayaan dicapai dalam tempoh pendek ini, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan.

''Setiap bajet mesti menyumbang ke arah merealisasikan Wawasan 2020," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment