Wednesday, May 30, 2012

Bersih 3.0 - PM Hubungi Raja Saudi Mengenai Kuota Haji



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghubungi Raja Arab Saudi, Raja Abdullah dalam masa terdekat berhubung kedudukan dan permohonan kuota jemaah haji dari negara ini yang dibimbangi terjejas ekoran isu perhimpunan Berhih 3.0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, isu tersebut perlu diselesaikan segera kerana kerajaan tidak mahu di saat akhir nanti berlaku kejadian yang tidak diingini.



"Jika berlaku sesuatu tindakan dari Arab Saudi, akan berlaku masalah pula kerana semua persiapan menunaikan haji tahun ini seperti sewa kapal terbang, hotel dan melantik syarikat yang membekalkan makanan kepada jemaah sudah selesai sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia kali kelapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha. Sebelum ini, Arab Saudi menghantar nota kepada Wisma Putra melahirkan rasa kecewa dengan tindakan perhimpunan sekumpulan rakyat Malaysia di Mekah dan Madinah pada 26 April lepas.

Isu kuota haji timbul kerana kerajaan Arab Saudi sedang membuat pertimbangan sama ada untuk mengenakan sekatan atau menggantung jemaah haji dan umrah dari negara ini berikutan kejadian itu.

Menurut Jamil Khir, walaupun kerajaan Arab Saudi belum memberikan sebarang reaksi tetapi pihaknya ada meminta penjelasan mengenai isu perhimpunan haram tersebut.

"Rakyat di Syria, Mesir, Tunisia, Libya, Yemen, juga ada masalah, malah lebih besar daripada negara kita tetapi mengapa perlu diterjemahkan kepada demonstrasi di Madinah dan Mekah," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, Tabung Haji pada minggu ini telah menghantar surat kepada Menteri Haji dan Wakaf Arab Saudi bagi menjelaskan isu perhimpunan haram tersebut.

Mengulas lanjut, katanya, surat itu diwakilkan kepada Pengurus Kanan Jabatan Haji, Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman untuk menjelaskan harapan kerajaan agar sekatan dan penggantungan kuota tidak dikenakan oleh Arab Saudi.

No comments:

Post a Comment