Crawford mengangkat kedua-dua belah tangannya sebaik melintasi garisan penamat pada pusingan kedua JM 2012 di Kulim, Kedah semalam. |
Semalam pada pusingan kedua JM) 2012 dari Bandar Baru Kampar, Perak ke Kulim, Kedah menyaksikan pelumba RTS Racing, Jai Crawford muncul juara. Pada perlumbaan sejauh 201.8 kilometer (km) itu,
Crawford, 29, terlebih dahulu berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa 5 jam 07 minit dan 42 saat.
Lebih manis, kejayaan pelumba kelahiran Australia itu juga merupakan yang pertama direkodkannya di Malaysia.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik pelumba pasukan Aisan Racing, Yasuharu Nakajima dan Tonton Susanto daripada pasukan Putra Perjuangan Cycling.
“Saya berasa amat gembira kerana berjaya memenangi peringkat kedua JM 2012. Ini merupakan kemenangan pertama saya di Malaysia selepas saya tewas kepada Tonton dalam klasifikasi keseluruhan pada JM 2009.
“Perlumbaan hari ini (semalam) sungguh sukar kerana laluannya yang panjang dan juga keadaan jalan yang tidak begitu bagus.
“Selepas melihat Tonton dan (pelumba kebangsaan Uzbekistan) Yusup Abrekov melakukan breakaway, saya hanya mengekori mereka sehingga menunggu peluang melakukan henjutan terakhir pada 500 meter terakhir,” jelas Crawford semalam.
Perlumbaan semalam juga menyaksikan Jersi Kuning pendahulu keseluruhan bertukar tangan apabila Abrekov yang menamatkan saingan di tempat kelima, merampas jersi tersebut daripada pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Shinichi Fukushima yang memenangi peringkat pertama kelmarin.
“Saya akui bahawa perlumbaan peringkat kedua ini memang sukar dan mencabar. “Apa-apa pun masih ada baki empat lagi perlumbaan dan saya yakin akan mampu mengekalkan Jersi Kuning ini sehingga ke hari terakhir,” jelas Abrekov yang mendahului klasifikasi keseluruhan dengan jumlah masa 8’58:36s.
Abrekov, 27, juga berjaya merampas Jersi Biru daripada Fukushima untuk mendahului kategori pelumba terbaik Asia.
Muhamad Adiq Husainie Othman pula muncul pelumba terbaik negara apabila menamatkan saingan di tempat kelapan dengan masa 5’10:50s, diikuti pelumba muda pasukan Terengganu, Muhd. Zulhilmie Afif Ahmad Zamri di tempat kesepuluh dengan catatan yang sama.
Dengan keputusan tersebut, Adiq, 21, berjaya mempertahankan Jersi Hijau selaku Raja Pecut dengan 28 mata dan juga Jersi Putih sebagai pelumba terbaik Malaysia yang dimenanginya pada peringkat pertama kelmarin.
Jersi Merah Raja Bukit pula menjadi milik Dadi Suryadi daripada pasukan Putra Perjuangan Cycling dengan mengumpul 10 mata.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment