Homestay Teluk Ketapang Yang Terkenal di Terengganu ketika ini. |
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria berkata, dua kawasan tersebut itu ialah Felda Keruak di Besut sebanyak 19 peserta dan Persatuan Homestay Nelayan Kijal di Kemaman membabitkan 10 peserta.
Katanya, lawatan di kedua-dua kawasan tersebut akan diadakan dalam waktu terdekat oleh pasukan daripada Pejabat Kementerian Pelancongan bersama Tourism Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Persatuan Homestay sebelum lesen dikeluarkan bagi memastikan semua aspek yang ditetapkan dipatuhi.
"Pada masa ini sebanyak enam kawasan di negeri ini didaftarkan sebagai homestay yang melibatkan seramai 103 peserta,’’ katanya dalam sidang media sempena Jelajah Terengganu Kempen 1 Malaysia Green, 1 Malaysia Clean (1MG 1MC) di Permai Hotel semalam.
Hadir sama Penolong Pengarahnya, Puan Mazshida Roslal. Katanya, enam kawasan terbabit ialah dua di Kuala Terengganu (Teluk Ketapang dan Pulau Duyung) dan masing-masing sebuah di Dungun ( Kampung Pasir Raja), Setiu (Kampung Rhu Sepuluh), Besut (Felda Selasih) dan Hulu Terengganu (Kampung Buluh).
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak terkeliru dengan homestay yang berdaftar dengan kementerian adalah berkonsepkan tinggal bersama penduduk dan menikmati aktiviti yang dijalankan di homestay berkenaan.
Ini kerana katanya, pada masa ini banyak individu yang menggunakan nama homestay untuk mengiklankan rumah rehat atau rumah penginapan mereka.
"Sehubungan dengan itu pihak kementerian pada masa ini sedang berusaha untuk mangazetkan nama homestay supaya ianya tidak mengelirukan orang ramai terutama pelancong," ujarnya.
Beliau menambah, kementerian tidak mempunyai peraturan untuk mengambil tindakan kepada pihak terbabit kecuali setelah digazetkan kerana lesen tersebut dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Mengenai program Jelajah Terengganu sempena kempen 1MG dan 1MC beliau berkata, sebanyak empat aktiviti diadakan sepanjang tahun ini dalam usaha memupuk semangat cintakan keindahan dan kebersihan terutama di kawasan tumpuan pelancong.
Aktiviti berkenaan ialah pertandingan fotografi (19 Mei hingga 30 Jun), pelancaran kempen di Gunung Berembun (15 -17 Jun) , Kempen Pantaiku Bersih di Homestay Rhu Sepuluh (12 -14 Julai) dan Kempen Sungaiku Bersih di Sungai Terengganu (15 -16 September.
Teganukita
No comments:
Post a Comment