Seramai 2.5 juta rakyat Malaysia dikesan menghidap penyakit barah hati dan majoriti adalah lelaki, menurut statistik yang dikeluarkan Yayasan Hepar Malaysia.
Presidennya, Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican berkata, Sabah dan Sarawak mencatatkan kadar tertinggi di seluruh negara bagi penyakit hepatitis B, manakala Kelantan pula mencatatkan kadar tertinggi bagi hepatitis A.
"Hepatitis B ini berjangkit dari ibu kepada anak, perkongsian jarum suntikan dadah dan darah.
"Lambakan pendatang asing dari pelbagai negara di Sabah dan Sarawak mungkin faktor penyebab berlakunya peningkatan hepatitis B ini di kedua-dua negeri berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kempen kesedaran penyakit hepatitis peringkat Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu, semalam.
Majlis perasmian tersebut turut mendapat perkenan cemar duli dan disempurnakan oleh Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.
Ismail berkata, pihaknya kini sedang mengesan pesakit-pesakit hepatitis seluruh negara untuk membantu memberi sokongan rawatan dan kaunseling.
"Terengganu adalah negeri pertama yang kita jelajahi untuk kempen ini pada 2012 yang memberi peluang kepada rakyat negeri ini menjalani pemeriksaan darah dan mendapatkan suntikan vaksin.
"Malah sempena kempen ini juga, harga vaksin diberi subsidi iaitu hanya RM60 berbanding RM80 pada waktu biasa,” katanya.
No comments:
Post a Comment