Harrif Salleh yakin dia sudah mencatat keputusan terbaik untuk membolehkannya tersenarai ke Sukan Olimpik. |
Menurutnya, beraksi di Olimpik memang menjadi impiannya.
Katanya, dia semakin berdebar menunggu pengumuman PKBM walaupun diletakan calon terbaik ke London selepas Muhammad Adiq Hussainie Othman.
"Saya rasa sudah mencatat keputusan yang baik dalam perlumbaan sebelum ini dan berharap PKBM menilai dari segi keputusan," katanya kepada Utusan Malaysia melalui laman sosial Facebook semalam.
Harrif menduduki tangga kesembilan dalam kedudukan keseluruhan perlumbaan Jelajah Asia UCI dengan 97 mata manakala Adiq tempat ketujuh (114 mata).
Jelas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), jurulatih Sebastien Duclos sudah merangka latihan untuknya dan dia juga sentiasa melihat perlumbaan antarabangsa lain untuk menambah ilmu.
"Saya sempat menyaksikan Giro d' Italia baru sebelum ini di mana Andrea Guardini yang beraksi di Le Tour de Langkawi (LTdL) mampu menewaskan pelumba sensasi Britain, Mark Cavendish.
Jadi tidak mustahil saya melakukan perkara yang sama di London nanti.
"Jurulatih juga memberitahu keadaan laluan di Olimpik tidak terlalu sukar walaupun perlu melalui kawasan berbukit di Box Hill.
"Dia yakin saya mampu melakukannya dan menjangkakan saingan akan berakhir dalam kelompok besar," katanya.
Ditanya mengenai gandingannya dengan Adiq sekiranya kedua-dua mereka terpilih, Harrif menegaskan dia tiada masalah untuk bekerjasama dengan rakan senegerinya itu kerana mereka pernah beraksi bersama baik dalam acara lebuh raya mahupun trek.
"Saya dan Adiq perlu bekerjasama pada Olimpik nanti kerana ia perlumbaan yang besar. "Esok saya akan ke Tour Singkarak. Di sana banyak laluan berbukit.
Saya ke sana untuk mempertingkatkan kayuhan pendakian. Untuk pecutan saya rasa tidak masalah," katanya.
Harrif berharap dapat beraksi di Olimpik kerana dia sudah melakukan yang terbaik seperti mana yang diharapkan oleh PKBM yang menilai pelumba melalui perlumbaan LTdL, Jelajah Malaysia, Sirkit Grand Prix dan prestasi semasa.
Tambahnya, Duclos juga sering berhubungan dengan Ketua Jurulatih, John Beasley untuk bertanyakan tentang perkembangannya dan bertukar pendapat.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment