Monday, May 14, 2012

J1M2012 - TSG Mendominasi Saingan Dengan Bergaya

Pelumba TSG bergambar selepas menguasai perlumbaan peringkat terakhir J1M 2012 dari Ipoh ke Dataran Merdeka semalam.
Terengganu Cycling Team (TSG) menutup tirai Kejohanan Lumba Basikal Jelajah 1 Malaysia (J1M) 2012 dengan bergaya apabila mendominasi tiga tempat teratas pada perlumbaan peringkat keenam dari Ipoh, Perak ke Dataran Merdeka petang semalam.

Pada saingan sejauh 199.5 kilometer itu, tiga pelumba TSG, Shinichi Fukushima (gambar kiri) muncul juara selepas mencatat masa 4 jam 24 minit dan 31 saat diikuti gandingan dua beradik, Mohd. Harrif dan Mohd. Zamri Salleh masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan perbezaan masa lapan saat.

Kejayaan itu merupakan yang kedua buat Fukushima selepas pelumba Jepun itu turut menjadi juara pembuka tirai J1M 2012 dari Stadium Merdeka ke Bandar Baru Kampar, Selasa lepas, sekali gus menghadiahkan kejayaan kelima buat TSG dalam enam peringkat saingan.


Sebelum ini, Mohd. Shahrul Mat Amin menjuarai perlumbaan peringkat ketiga (Kulim-Felda Chuping) sebelum Harrif menjuarai peringkat keempat (Kangar-Sungai Petani) dan kelima (Sungai Petani-Ipoh).

"Sudah tentu saya gembira kerana berjaya muncul juara pada peringkat pembuka dan penutup J1M 2012 ini," kata Fukushima pada sidang akhbar semalam.

"Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak bekerja keras membantu saya sepanjang perlumbaan ini.

"Selepas gagal mempertahankan Jersi Kuning (pendahulu keseluruhan) pada peringkat kedua, kami mula memberi tumpuan utama untuk memenangi peringkat perlumbaan pula dan nampaknya ia berhasil dengan kerjasama yang hebat daripada pelumba pasukan ini.

"Saya bangga kerana menyertai pasukan ini. Semua pelumba TSG masih muda dan mempunyai potensi yang cerah pada masa hadapan," tambahnya lagi.

Sementara itu, pelumba yang menjadi pilihan beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London, Muhd. Adiq Husainie Othman berjaya mengekalkan Jersi Hijau selaku Raja Pecut setelah mengumpul 89 mata selain muncul pelumba terbaik Malaysia (Jersi Putih 100PLUS).

Jersi Kuning selaku juara keseluruhan pula dimenangi Yusup Abrekov dari Uzbekistan Suren dengan kelebihan 0.18s ke atas pelumba Australia, Jai Crawford dari pasukan RTS Racing.

"Lega kerana akhirnya berjaya juga mengekalkan Jersi Kuning ini selama lima peringkat, ia bukan satu tugas mudah kerana saya tahu Crawford mungkin masih berpeluang memenanginya.

"Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu saya dalam saingan J1M yang agak mencabar kali ini," kata Abrekov yang turut memenangi Jersi Biru sebagai pelumba terbaik Asia.

Pelumba Indonesia daripada pasukan Putra Perjuangan, Dadi Suryadi pula berjaya memenangi Jersi Merah selaku Raja Bukit selepas mengumpul 15 mata.

Pasukan Terengganu muncul pasukan terbaik Malaysia sementara pasukan Putra Perjuangan mengungguli kategori pasukan keseluruhan dan terbaik Asia.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment