Pemain T-Team, Shahril Faizal (tengah) cuba melepasi kawalan dua pemain Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasirruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin. |
"Sabah bukan calang-calang pasukan dan sejarah telah membuktikan bahawa kami sukar untuk meraih kemenangan apabila bertandang ke sana (Stadium Likas). Saya akan merangka strategi sebaik mungkin kerana kita berdepan kemelut kecederaan pemain-pemain. Mereka perlu bersedia dalam mengharungi perlawanan ketika menentang Sabah.".
Demikian tegas Yunus Alif selepas T-Team berhempas pulas menewaskan Kuala Lumpur malam kelmarin dan berharap penyerang akan mengambil peluang yang diperoleh apabila berdepan gawang lawan.
Malam Sabtu lalu, pemain T-Team dipaksa berhempas pulas untuk mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan pasukan tercorot Liga Super, Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasirruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.
Skuad kendalian Yunus Aliff itu berjaya memperoleh gol seawal minit pertama menerusi pemain import, Marco Tulio.
Namun, kealpaan pemain tuan rumah memberi ruang kepada Kuala Lumpur untuk bangkit, sekali gus memperkemaskan rentak permainan. Penyerang Kuala Lumpur, Muhd. Afiq Azmi menghukum benteng pertahanan T-Team menerusi larian pantas untuk mengikat kedudukan pada minit ke-23 dengan menumpaskan penjaga gawang, Mohd. Iqbal.
Bagaimanapun, pada minit ke-75, Norfazly Alias berjaya mengatasi perangkap ofsaid pemain pertahanan Kuala Lumpur dengan menanduk masuk bola ke gawang.
Yunus memberitahu, pemain-pemain kelihatan tertekan apabila pasukan pelawat mendapat gol semangat, sekali gus menyebabkan mereka hilang tumpuan di atas padang.
"Saya sudah mengingatkan para pemain agar tidak terlalu 'santai' dalam permainan kerana ia akan memberi peluang kepada pihak lawan untuk memperoleh gol terutama apabila kami mendahului seawal minit pertama.
"Apabila Kuala Lumpur menyamakan kedudukan, kita sudah hilang arah dan tidak bermain mengikut strategi yang diterapkan.
Mujur ada Rosdi Talib dan Tulio untuk membantu menggerakkan semula permainan pasukan," katanya.
Katanya, dia masih bersyukur kerana T-Team berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan menentang Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment