Norshahrul berusaha mendapatkan jaringan selepas gagal sepakan penalti pada minit kelima. |
Kemenangan Kelantan mengatasi Lion XII malam kelmarin membolehkan pasukan itu merapatkan jurang hanya dua mata di belakang Lions XII dengan kurang tiga perlawanan dan berpeluang cerah kembali merampas kedudukan teratas liga jika mampu mencatatkan kemenangan dalam tiga baki perlawanan tersebut.
Selain memberikan kekalahan terbesar LionsXII dalam kancah Liga Super, keputusan ini turutmenjadi hadiah bermakna buat Hodak yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-41 semalam.
Sultan Kelantan turut menyaksikan perlawanan bolasepak malam kelmarin. |
Kemenangan ini membolehkan Kelantan yang juga juara bertahan Liga Super mengumpul 34 mata untuk terus memberi tekanan kepada LionsXII yang kini berada di puncak liga dengan 36 mata, namun kelab negara jiran itu beraksi lebih tiga perlawanan.
Penantian kira-kira 20,000 penyokong The Red Warriors akhirnya berbalas pada minit ke-73 apabila Chanturu melakukan sepakan gunting selepas mendapat hantaran Norshahrul.
Kelantan memperoleh gol kedua lima minit kemudian melalui Mohd. Norfarhan Muhammad pada minit ke-77 selepas menerima hantaran daripada ketua pasukan, Mohd. Badri Radzi. Mohd.
Rizal Fahmi Rosid menceriakan penyokong setia Red Warriors apabila mencipta jaringan ketiga yang amat menarik melalui sepakan padu dari jarak 20 meter yang hanya mampu diperhatikan oleh Hyrulnizam Jumaat pada minit ke-86.
LionsXII pula yang berehat panjang tanpa terbabit dalam saingan Piala FA dan AFC berbanding Kelantan lebih banyak bergantung kepada serangan balas dan mendapat beberapa peluang terhidang untuk meledak jaringan, namun kecekapan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat membuatkan Shahril Ishak dan rakannya berputih mata.
Kelantan pula sepatutnya boleh meraih kemenangan yang lebih besar jika penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha mampu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit kelima tetapi dapat diselamatkan oleh Hyrulnizam.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu yang turun tanpa khidmat ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris ketika berdepan Perak, seperti tidak menghadapi sebarang masalah apabila mendahului seawal minit pertama menerusi Joseph Kalang Tie sebelum Mohd Rafiuddin Roddin menyamakan kedudukan pada minit ke-39.
Bersambung babak kedua, Perak kembali menguasai perlawanan dan mendapatkan gol kedua menerusi penyerang import, Albert Dominique sebelum Hasmizan Kamarudin kembali mengikat kedudukan 2-2.
Di Stadium Likas, jaringan tunggal Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-20 membantu Sabahawks mengutip tiga mata penuh selepas membenam cabaran pasukan kelab, FELDA United 1-0.
No comments:
Post a Comment