Sunday, May 6, 2012

Piala Monsun Penjana Pendapatan Ekonomi Negeri & Negara - Ahmad Said



Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyatakan rasa puas hati dengan laporan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Piala Monsun apabila mencatatkan keputusan positif berdasarkan pencapaian keseluruhan 97.4 peratus.

Katanya, ia jelas membuktikan penganjuran acara antarabangsa itu mempunyai kapasiti untuk menjadi penjana pendapatan bagi ekonomi negeri itu malah negara.



Beliau menyatakannya selepas majlis penghargaan dan pengumuman KPI Piala Monsun di Ri-Yaz Heritage Resort dan Spa dekat Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Presiden T-Best, Tan Sri Sabbaruddin Chik pula berkata kejohanan Perahu Layar Antarabangsa Piala Monsun yang diadakan sejak tujuh tahun di Pulau Duyung dekat sini, ternyata kekal menjadi acara pelayaran terbaik selepas berjaya menarik lebih 900 juta penonton di seluruh dunia yang menyaksikan liputan siarannya di 176 negara.

Penganjuran oleh T-best Events Sdn. Bhd. (T-best) mencatatkan peningkatan dalam Nilai Media Kasar sebanyak 60.3 peratus berbanding tahun 2010 dengan nilai RM896.5 juta yang mana liputan media online merupakan penyumbang tertinggi selepas televisyen, percetakan dan radio.

Menururnya, penganjuran kejohanan kapal layar itu juga berjaya menarik sebanyak 156,624 orang pengunjung merangkumi jumlah yang hadir di sepanjang Piala Monsun dan Karnival Monsun yang telah dianjur di semua daerah sebagai usaha mempromosi kejohanan itu.

Katanya, kejohanan itu turut memainkan peranan penting dalam menjana pembangunan ekonomi di negeri itu terutamanya penduduk setempat apabila mencatat peningkatan kadar penginapan, perusahaan dan peniaga kecil-kecilan sekurang-kurangnya 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Ini terbukti apabila jumlah perbelanjaan bagi pengunjung tahun lalu mencecah RM16.2 juta merangkumi perbelanjaan penginapan hotel, beli-belah, makanan dan minuman, pengangkutan, penerbangan domestik, lawatan ke destinasi pelancongan serta perbelanjaan pengunjung ke Karnival Monsun di tujuh buah daerah.

"Selain itu, penganjuran itu juga turut memberi peluang pekerjaan kepada seramai 1,753 orang kakitangan termasuk kontraktor, pekerja sementara, pekerja pembersihan dan sebagainya dalam melicinkan acara itu," katanya.

No comments:

Post a Comment