Friday, May 4, 2012

Mat Zan Bakal Disingkir Sebagai Jurulatih Terengganu?

Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) merehatkan ketua jurulatih Mat Zan Mat Aris selama dua minggu mulai semalam.

Setiausaha PBSNT Abdullah Salleh berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat eksekutif PBSNT di Kuala Terengganu malam kelmarin.

"Kita memberi rehat kepada Mat Zan selama dua minggu mulai hari ini hingga 15 Mei ini untuk meredakan tekanan," katanya di Kuala Terengganu.


Abdullah berkata beliau difahamkan jurulatih itu pada masa ini sedang menghadapi masalah keluarga dan tempatnya akan digantikan oleh penolong jurulatih Khalid Mat Dahan dan Zubir Ibrahim.

Menurut Abdullah, keputusan untuk merehatkan Mat Zan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kegagalan Terengganu melangkah ke perlawanan akhir Piala FA.

“Ini bukanlah keputusan individu tetapi keputusan dibuat sebulat suara yang diputuskan oleh pengurusan PBSNT.

“Dalam pertemuan itu juga, PBSNT turut memanggil beberapa pemain senior untuk mendapatkan sendiri pandangan mereka mengenai kedudukan Mat Zan,” katanya.

“Mat Zan adalah seorang jurulatih yang berpengalaman dan pernah membantu Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada 2001.

“Bagaimanapun, pihak persatuan perlu juga mengambil kira kepentingan PBSNT kerana sasaran awal kami adalah untuk menjulang tiga piala.

Kini, Terengganu telah terlepas kejuaraan Piala FA,” ujarnya.

Ditanya adakah pihak persatuan bakal menyingkirkan Mat Zan, Abdullah tidak menolak kemungkinan itu sambil menyifatkan keputusan tersebut hanya boleh dibuat oleh pihak tertinggi PBSNT.

"Buat masa ini, kita hanya merehatkan Mat Zan hingga 15 Mei ini dan segala tugasannya sebagai ketua jurulatih akan diambil alih oleh Khalid buat sementara waktu,” tambahnya.

Mat Zan yang pernah membimbing Kuala Lumpur dan Pos Malaysia mula mengendalikan skuad Penyu pada awal musim ini bagi menggantikan Irfan Bakti yang berhijrah ke Selangor.

Di bawah kendalian Mat Zan, Terengganu ketika ini menduduki tangga ketiga Liga Super dan mara ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia, namun gagal dalam misi mempertahankan gelaran Piala FA selepas tewas memalukan di tangan Sime Darby minggu lalu.

No comments:

Post a Comment