Wednesday, May 30, 2012

MB Kecewa Sikap Kontraktor Amal 'Alibaba'

Ahmad Fahrin menyerahkan Kad Hijau kepada Ahmad sebagai tanda penghargaan merasmikan Majlis Penutup Hari Pembinaan Masuk Kampung kelmarin.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa kecewa dengan sesetengah kontraktor Melayu yang meng`alibaba’kan lesen yang diterima mereka dengan menyerahkannya kepada sub kontraktor atau orang ketiga.

Katanya, situasi terjadi kerana kontraktor yang ada tidak memiliki pengetahuan dalam bidang berkenaan dan memohon lesen semata-mata untuk mendapatkan projek.




“Bukan mudah mendapatkan lesen berkenaan, tetapi mereka hanya memandang kepada keuntungan semata-mata sedangkan keuntungan yang diperoleh terpaksa dibahagi dua jika memberikan lesen kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian penutup Program Pembinaan Masuk Kampung anjuran Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di pekarangan Tabika Kemas, Teluk Kalong, dekat Kijal, kelmarin.

Pada masjlis itu, seramai 60 peserta mengikuti program berkenaan masing-masing menerima Kad Pendaftaran Personal Binaan CIDB yang lebih dikenal sebagai `Kad Hijau’.

Dua kursus utama yang diadakan sepanjang program itu ialah Kursus Induksi Keselamatan dan Kesihatan untuk Pekerja Binaan pada 16 Mei dan Kursus Personal Binaan selama lima hari bermula 23 Mei hingga 27 Mei melibatkan tiga bidang kursus iaitu Kursus Building Operation dan Maintenance, Kursus Landscaping dan Kursus Buliding Decorative Painting.

Mengulas mengenai program itu, kata Ahmad, dengan adanya kursus yang dijalankan oleh ABM dan CIDB itu sekurang- kurangnnya dapat memberikan pengetahuan kepada kontraktor bagaimana caranya menjalankan kerja dalam bidang berkenaan dan bukan hanya memiliki lesen tanpa pengetahuan.

Sementara itu, Pengarah CIDB Terengganu, Ahmad Fahrin Mokhtar berkata, program itu diadakan bertitik tolak daripada kehadiran Menteri Besar ke kampus ABM Wilayah Timur di Kampung Jenagor, Kuala Berang pada 17 April lalu ketika menghadiri majlis penyerahan geran tanah di sana dan dari situlah perbincangan diadakan untuk menjayakan program tersebut.

“Perbincangan dengan Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Kijal berjaya merealisasikan program ini dan tiga kursus berkaitan pembinaan diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta terutama generasi muda mengenai tugas seorang kontraktor.

“Jika mereka lulus dalam ujian teori dan amali yang dikendalikan oleh ABM Wilayah Timur, akan diberikan kad hijau yang melayakkan mereka dilindungi insurans bernilai RM21,000 dan kad ini hanya diberikan kepada kontraktor yang berdaftar dengan CIDB sahaja,” katanya.

Menurutnya, tiga kawasan dijadikan tempat amali kerja pembinaan dan landskap peserta kursus selama lima hari iaitu di Kampung Tengah (rumah), Kampung darat Kijal (rumah) dan Tabika Kemas, Teluk Kalong (sangkar burung).

Katanya, pihak CIDB juga turut mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Kijal, Syarikat Lean Giap Enterprise Sdn. Bhd dari Selangor yang menyumbangkan atap untuk projek pembinaan disalah sebuah rumah dalam program berkenaan.

Sementara itu, peserta kusus Mahaza Mustafa, 33, dari Kampung Darat, Kijal berkata itulah pertama kali dia mengikuti kursus seumpama itu dan berterima kasih kepada ABM Wilayah Timur dan CIDB Terengganu kerana menganjurkan kursus berkenaan.

“Kursus itu sungguh berharga bagi kami yang ingin belajar mengenai selok-belok menjadi kontraktor dan ianya banyak memberi pengetahuan mengenai landskap serta memberi peluang kepada peserta mengalami sendiri suasana kerja.

“Kami diberikan kerja amali untuk melihat keberkesanan kursus yang diadakan dan kami bersyukur walaupun hanya lima hari tetapi kami dapat membuktikan yang ia berjaya kerana dapat menyiapkan dua buah rumah dan sebuah sangkar burung,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment