Friday, May 18, 2012

MTIB Sasar Eksport Kayu RM53b


Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) menyasarkan hasil eksport produk perkayuan mencecah RM53 bilion menjelang tahun 2020.

Ketua Pengarah MTIB, Dr. Jalaluddin Harun berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 60 peratus dijangka diperoleh daripada pengeksportan produk perabot, selain pertukangan kayu untuk pasaran Amerika Syarikat, Jepun, India, Australia dan rantau Eropah.


Beliau berkata, tahun lalu, lembaga itu turut menyumbang RM20.03 bilion kepada nilai eksport negara, manakala kira-kira RM17 bilion bagi keperluan domestik.

Menurutnya, pencapaian itu juga menyaksikan MTIB berupaya menyumbang tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagi tujuan itu jelas beliau, pihaknya sedang mengatur strategi bagi memperhebatkan program latihan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang itu.

Kelmarin satu perjanjian usahasama antara Terengganu Timber Industri Training Centre (TTITC) dan Malaysian Timber Industri Board (MTIB) diadakan dan akan  memberi kelebihan kepada rakyat tempatan untuk bergerak maju dalam industri perkayuan yang kini mendapat permintaan agak tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Toh Chin Yaw berkata, selepas termeterainya perjanjian ini, TTITC akan memberi fokus utama terhadap industri perkayuan yang mempunyai masa depan yang cerah.

“Terengganu terkenal dengan produk perkayuan seperti pembuat kapal, perabut dan kraf berasaskan kayu dan kerjasama dengan MITB ini secara langsung dapat memberi lebih peluang anak tempatan berkembang maju,” katanya kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara TTITC dan MTIB di Wisma Darul Iman.

TTITC diwakili Toh manakala MTIB diwakili Ketua Pengarahnya, Dr Jalauddin Harun. Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains , Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman meyaksikan majlis MOA itu.

Toh berkata, dengan termeterainya usahasama ini TTITC akan menawar beberapa kursus baru dalam bidang kemahiran untuk memberi pendedahan anak tempatan meneroka lebih jauh dalam bidang industri perkayuan .

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah TTITC berkata, pihaknya bercadang membina bangunan tambahan setelah kerajaan negeri meluluskan 20 hektar kawasan berhampiran kepada TTITC.

“Tahun lalu terdapat 1,214 pelatih telah berjaya menamatkan latihan masing-masing dan telah memasuki alam pekerjaaan manakala tahun ini 1,399 lagi sedang mengikuti latihan dalam pelbagai bidang kursus,” katanya.

No comments:

Post a Comment